Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti keberkesanan serta kesediaan pelaksanaan elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) di sekolah rendah. 

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata selaras Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dan Dasar Pendidikan Digital (DPD), elemen TVET dalam KP2027 akan diintegrasikan secara tidak langsung dalam kurikulum dari peringkat prasekolah hingga sekolah menengah.

Kandungan kurikulum dirangka mengikut tahap perkembangan murid dan tidak bertujuan melatih mereka untuk pekerjaan pada usia terlalu awal. null

“Kandungan berkenaan membina asas pengetahuan, kemahiran dan nilai melalui aktiviti teknologi, reka bentuk, penghasilan produk, penyelesaian masalah, kreativiti, pemikiran komputasional serta amalan kerja yang selamat. 

“Pendekatan pembelajaran berasaskan projek dan pengalaman sebenar membolehkan murid meneroka masalah mudah, menjana idea, mereka bentuk, menghasilkan, menguji dan menambah baik hasil kerja,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen. 

Beliau menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai sama ada kajian keberkesanan dan kesediaan sudah dilaksanakan susulan pelaksanaan pendidikan TVET di sekolah rendah mulai sesi persekolahan 2027, termasuk dari aspek kandungan kurikulum, kompetensi guru, kemudahan serta impak terhadap perkembangan murid. 

Fadhlina berkata, pendekatan itu turut menyokong pembentukan kompetensi murid yang dihasratkan dalam KP2027, merangkumi perkembangan diri, komunikasi, tanggungjawab, fasih digital, literasi pelbagai, kemahiran berfikir dan pembelajaran sepanjang hayat. 

Bagi memastikan kesiapsiagaan guru, KPM menyediakan dokumen kurikulum yang jelas, bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP), modul bimbingan guru serta program penataran yang dirancang secara bersemuka dan e-pembelajaran.

“Sokongan ini memfokuskan kefahaman kandungan, pelaksanaan pembelajaran berasaskan projek, pengurusan aktiviti secara selamat, penggunaan peralatan asas, pentaksiran pembelajaran murid dan pengintegrasian elemen TVET dalam PdP. 

“Pendekatan ini juga membolehkan guru mendapat pendedahan, bimbingan dan akses berterusan kepada sumber rujukan bagi melaksanakan kurikulum dengan yakin dan berkesan,” katanya. 

KPM turut mengenal pasti keperluan ruang, peralatan, bahan dan peranti berdasarkan kandungan kurikulum serta aktiviti pembelajaran yang ditetapkan. 

“Penyediaan dan pemerkasaan prasarana dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira kesesuaian, keselamatan, kebolehlaksanaan dan keupayaan sekolah. 

“Persediaan KPM bagi pelaksanaan berkenaan adalah tersusun dan menyeluruh, merangkumi kurikulum, guru, sokongan pelaksanaan dan prasarana bagi memastikan murid memperoleh asas kompetensi yang relevan untuk menghadapi perubahan teknologi serta keperluan masa hadapan,” katanya. -BH Online