GEORGETOWN: Kerajaan sedang membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan cuaca panas melampau dengan suhu dijangka mencecah 40 darjah Celsius dari penghujung tahun ini hingga April tahun depan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kementeriannya turut mendapatkan pandangan pakar dalam bidang kecerdasan buatan (AI), sains dan teknologi bagi mencari kaedah terbaik menghadapi perubahan cuaca berkenaan.
“Kita berada dalam persediaan mencari jalan, pakar-pakar teknologi AI, sains dan sebagainya, bagaimana untuk menghadapi jika cuaca mencecah 40 darjah Celsius dari akhir tahun ini hingga dijangka pada April tahun depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Presiden AMANAH, di sini, malam tadi.
Mohamad yang juga Presiden AMANAH berkata, persediaan awal penting bagi memastikan kerajaan dan rakyat tidak panik sekiranya berlaku cuaca panas serta kering berpanjangan.
Katanya, antara perkara perlu diberi perhatian ialah kemungkinan berlaku kekurangan air, yang boleh memberi kesan terhadap sektor pertanian, termasuk aktiviti tanaman dan ternakan.
Beliau berkata maklumat serta ramalan awal berkaitan perubahan cuaca turut diambil kira bagi membolehkan langkah sewajarnya dirancang lebih awal.
Dalam pada itu, Mohamad berharap Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini, dapat memberi perhatian kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) susulan cabaran yang dijangka dihadapi akibat fenomena El Nino.
Beliau berkata, isu bekalan air juga perlu ditangani lebih awal bagi memastikan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara tidak terjejas sekiranya berlaku tempoh cuaca panas yang panjang. -BH Online
