PUTRAJAYA: Malaysia mahu rundingan operasi dengan Indonesia disegerakan bagi membolehkan pasukan negara dihantar membantu memadam kebakaran hutan di negara berkenaan, yang mencetuskan jerebu rentas sempadan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata persetujuan Presiden Indonesia Prabowo Subianto terhadap tawaran bantuan Malaysia sudah diperoleh, namun kaedah operasi dan lokasi pasukan Malaysia masih dalam rundingan antara kedua-dua negara.
“Cumanya bagaimana cara operasi tulah agaknya yang sedang dirundingkan di antara kedua-dua pihak, kedua negara.
“Saya berharap supaya rundingan operasi ini, cara mana dan dengan pasukan yang dari Malaysia boleh membantu itu dapat disegerakan kerana keadaan jerebu di negara kita ini dah terlampau teruk sangat sekali, dah melebihi keadaan tak sihat, dah nak masuk dalam indeks berbahaya,” katanya kepada media.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Graduasi Program Diploma in Diplomacy 2026 di sini, hari ini.
Mohamad berkata beliau berharap perkara berkaitan operasi itu dapat segera diputuskan, supaya Malaysia boleh menghantar pasukan bagi membantu rakan di Indonesia memadam kebakaran hutan yang luas dan merebak khususnya di Kalimantan.
“Jadi saya sendirilah berharap supaya masalah operasi antara kedua-dua ini dapat disegerakan, diputuskan untuk dapat kita menghantar pasukan untuk membantu rakan-rakan (di Indonesia), untuk memadamkan kebakaran hutan yang luas yang merebak di daerah Kalimantan,” katanya.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan Indonesia menerima tawaran Malaysia untuk membantu memadam kebakaran hutan di republik itu, yang menyebabkan jerebu berlarutan selama beberapa minggu.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika lawatan kerjanya ke negara berkenaan bulan lepas.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata Prabowo memberikan persetujuan terhadap tawaran Malaysia untuk membantu memadam kebakaran hutan di Kalimantan, dengan lebih 1,400 titik panas dikesan.– BERNAMA
