Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Institusi pendidikan tinggi (IPT) diberi autonomi untuk menentukan kaedah pembelajaran bersesuaian berdasarkan keadaan jerebu di kawasan masing-masing.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kementerian sudah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keadaan jerebu yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.

Menurutnya, universiti awam, politeknik dan kolej komuniti boleh menilai keadaan setempat sebelum menentukan kaedah pembelajaran yang bersesuaian.null

“Autonomi sudah diberikan kepada universiti, politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara untuk melihat keadaan masing-masing.

“Kalau pelajar tidak dapat hadir ke kampus, mereka boleh menggunakan kaedah pembelajaran lain termasuk secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Tamadun Global Malaysia merangkap Festival Kebudayaan Tamadun Islam-Confucian 2026 (MGCIS-ICCCF 2026) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), di sini, hari ini. Zambry berkata, pendekatan itu membolehkan setiap IPT mengambil tindakan mengikut keadaan jerebu di lokasi masing-masing tanpa perlu menunggu arahan secara berpusat daripada KPT.

Beliau berkata, keutamaan adalah memastikan proses pembelajaran pelajar terus berjalan, sekiranya keadaan jerebu menjejaskan kehadiran mereka ke kampus. -BH Online