Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih menunggu surat rasmi Lembaga Pengampunan berkaitan keputusan membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata KDN dan Jabatan Penjara belum menerima sebarang surat rasmi berkaitan keputusan berkenaan.

“Di KDN yang mana Jabatan Penjara berada di bawahnya, kita akan menunggu surat rasmi memaklumkan mengenai keputusan Lembaga Pengampunan semalam.

“Buat masa sekarang kita belum terima apa-apa. Daripada pemakluman itu nanti, barulah kita jelas apakah tindakan selanjutnya yang akan kita ambil, sesuai dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni keluarga mangsa empat kanak-kanak lemas di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, di sini, hari ini.

null

Saifuddin Nasution berkata, pihaknya perlu meneliti kandungan surat berkenaan bagi mengetahui butiran keputusan Lembaga Pengampunan, termasuk sama ada lokasi tahanan rumah ditetapkan atau diserahkan kepada Jabatan Penjara.

“Saya nak tengok dulu surat itu. Sekarang ini tempoh Datuk Seri Najib menjalani hukuman penjara.

“Tahanan rumah bermaksud beliau tidak berada dalam penjara tetapi akan berada di satu premis lain dan tentu ada prosesnya,” katanya.

Beliau berkata, KDN perlu mendapatkan kepastian berhubung keputusan itu sebelum sebarang tindakan diambil bagi memastikan pelaksanaannya, selaras keputusan Lembaga Pengampunan.

Katanya, keputusan terdahulu Lembaga Pengampunan membabitkan pengurangan hukuman penjara Najib dari 12 tahun kepada enam tahun, selain denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

“Jika Datuk Seri Najib membayar RM50 juta denda yang dikurangkan daripada RM210 juta, tarikh pembebasannya adalah 23 Ogos 2028.

“Jika tidak dibayar, beliau akan dibebaskan pada 23 Ogos 2029,” katanya.

Mengulas mengenai tahanan rumah secara umum, Saifuddin Nasution berkata, Malaysia belum mempunyai undang-undang khusus berkaitan mekanisme berkenaan.

Sebelum ini, katanya, KDN sudah mendapat persetujuan dasar Kabinet untuk memulakan proses membentangkan Rang Undang-Undang Tahanan Rumah di Parlimen.

Beliau berkata, cadangan berkenaan asalnya bertujuan menangani masalah kesesakan penjara, khususnya membabitkan tahanan reman.

“Sekarang ini kita ada 41 penjara tetapi penghuni penjara kira-kira 93,000 orang, sedangkan kapasiti penjara kita hanya 75,000.

“Kita sudah mendapat persetujuan dasar Kabinet untuk memulakan proses membentangkan Akta Tahanan Rumah bertujuan menangani kesesakan penjara,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata, sekiranya rang undang-undang berkenaan diluluskan, tahanan reman tertentu boleh ditempatkan di rumah dengan pergerakan dipantau menggunakan peranti moden sehingga tarikh perbicaraan. -BH Online