KUALA LUMPUR: Kuasa untuk memberikan pengampunan, penangguhan atau peringanan hukuman merupakan kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu amat jelas dan selaras dengan kerangka Perlembagaan negara.
“Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan dengan jelas bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan.
“Justeru, keputusan yang dibuat menerusi proses tersebut hendaklah diterima dan dihormati oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramanan turut menyeru semua pihak supaya tidak mempolitikkan urusan pengampunan yang boleh menimbulkan kekeliruan.
“Namun, perjuangan menentang rasuah dan salah laku tetap akan diteruskan dengan tegas dan konsisten. Inilah pendirian kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri dan pendirian ini juga saya dukung sepenuhnya,” katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong memperkenan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan, perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara pada Jumaat.– BERNAMA
