KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenang Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, juruterbang helikopter yang terbunuh dalam nahas pesawat Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak semalam sebagai sahabat yang banyak membantu pergerakannya ketika kempen PRU15.
Dalam perbualan telefon dengan bapa juruterbang itu, Bee Sham Ahmad, hari ini, Perdana Menteri menyifatkan Zainol Afiq sebagai seorang yang sopan ketika memberikan perkhidmatan.
“Dia seorang yang sopan, salam ketika (saya) naik, salam ketika turun (helikopter). Doa bersama,” kata Perdana Menteri dalam perbualan itu yang disiarkan dalam laman FB beliau.
Perdana Menteri berkata beliau terkesan apabila ditunjukkan gambar Allahyarham ketika menerbangkan pesawat membawa beliau ketika itu.
Bee Sham juga memberitahu Anwar keluarganya berhasrat membawa jenazah Allahyarham balik ke Negeri Sembilan yang mana Perdana Menteri menyatakan pihaknya akan membantu.
Anwar juga mengucapkan takziah kepada keluarga juruterbang itu serta semua keluarga yang terbabit.
“Tatkala menghimbau kenangan sewaktu Allahyarham bertanggungjawab menerbangkan saya ketika kempen PRU15 lalu menjadikan saya sangat tersentuh dan mengesankan sanubari yang terdalam.
“Teruji dengan kehilangan amat berat, lebih-lebih lagi buat keluarga dan anak-anak yang jauh masih kecil,” katanya.
Anwar berkata beliau berdoa agar Allah mengurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran kepada keluarga juruterbang berkenaan terus melangkah menghadapi hari-hari mendatang.
“Lantaran itu, Kerajaan MADANI akan memastikan segala bantuan dan keperluan keluarga Allahyarham serta keluarga mangsa lain didukung dan diberi pembelaaan sewajarnya.
“Semoga Allah SWT mengasihani mereka, mengampun segala dosa mereka, melimpahkan rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka di kalangan para syuhada.
“Malaysia meratapi pengorbanan dan limpah bakti mereka kepada negara,” katanya.
Semalam, sebuah helikopter FDS KKM yang membawa lima individu termasuk juruterbang, dilaporkan terhempas dan terbakar berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan, petang semalam, mengesahkan insiden berkenaan. -BH Online
