KUCHING: Kerajaan Sarawak menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada setiap keluarga petugas Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service – FDS) yang terkorban dalam nahas helikopter berhampiran Long Lellang, Ulu Baram, semalam.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, turut bersetuju kerajaan negeri menanggung sepenuhnya yuran pendidikan anak-anak petugas yang terkorban dan masih bersekolah melalui Yayasan Sarawak.
Kerajaan Sarawak dalam kenyataan hari ini menzahirkan dukacita mendalam serta merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan waris mangsa yang terkorban dalam nahas pada jam 3.58 petang semalam.
Menurut kenyataan itu, petugas berkenaan sedang melaksanakan amanah amat mulia dan penting dengan membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi melalui jalan darat.
“Mereka mengabdikan diri bagi memastikan rakyat, tanpa mengira lokasi dan keadaan, terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan Sarawak menyifatkan pemergian mereka sebagai kehilangan besar bukan saja kepada keluarga dan rakan sekerja malah seluruh rakyat Sarawak, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman yang menerima manfaat daripada khidmat mereka.
“Jasa, dedikasi, keberanian dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman, amat besar nilainya,” katanya.
Kerajaan Sarawak turut menegaskan khidmat bakti petugas terbabit yang melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi dan keberanian akan terus dikenang, manakala keluarga dan waris yang ditinggalkan diharap diberikan kekuatan, ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang. -BH Online
