KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) tidak akan lagi mempertimbangkan sebarang permohonan Lesen Pelanggaran baharu bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 (PUB 2014), berkuat kuasa serta-merta.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata beliau mengeluarkan arahan itu bagi memastikan penguatkuasaan penuh PUB 2014 mulai 1 Januari 2027.
PUB 2014 adalah Peraturan bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang dikuatkuasakan sejak 5 Jun 2014 bagi menggantikan PUB 1978, yang menetapkan semua industri yang tertakluk perlu mengawal pelepasan bahan pencemar mengikut nilai batas dan standard teknikal ditetapkan.
Arthur berkata, kerajaan sudah memberi tempoh peralihan selama lima tahun hingga 5 Jun 2019, diikuti beberapa siri pelanjutan tambahan bersyarat susulan permohonan pelbagai sektor industri yang masih gagal mematuhi peraturan itu.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa tempoh pelanjutan tambahan itu tamat sepenuhnya pada bulan lalu.
“Hingga kini, sebanyak 38 premis membabitkan sektor stesen jana kuasa elektrik, sektor petrokimia serta sektor kilang kelapa sawit masih belum mematuhi PUB 2014 dan sudah dipertimbangkan Lesen Pelanggaran.
“Kelonggaran sementara ini dipertimbang berdasarkan penilaian ketat oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) ke atas pelan tindakan terperinci premis industri berkaitan ke arah pematuhan penuh PUB 2014.
“Selepas tempoh ini, JAS akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan, dan kerajaan juga sedang mempertimbang untuk mengenakan Fi Tambahan Lesen Pencemar Udara (FTLPU) terhadap premis industri yang masih gagal mencapai tahap pematuhan ditetapkan bawah PUB 2014,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Arthur menegaskan Lesen Pelanggaran tidak boleh dijadikan kelonggaran berterusan oleh pihak industri.
“Semua pengusaha industri digesa segera mengambil langkah proaktif dalam menaik taraf Sistem Kawalan Pencemaran Udara (SKPU) masing-masing bagi mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa demi menjamin kualiti udara yang selamat untuk generasi kini dan akan datang,” katanya. -BH Online
