KUALA LUMPUR: Hubungan Malaysia dan Hong Kong berpotensi diperkukuh menerusi pembentukan koridor perhubungan dan logistik yang saling melengkapi, khususnya dalam sektor kargo udara, perdagangan serta perkhidmatan profesional.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kedudukan Hong Kong yang mempunyai antara pintu masuk kargo udara tersibuk di dunia, selain Pelabuhan Klang yang terletak di laluan perkapalan paling sibuk dunia, memberi asas kukuh kepada kerjasama antara kedua-dua ekonomi.
Beliau berkata, Malaysia kini semakin bergantung kepada eksport barangan bernilai tinggi seperti elektronik dan semikonduktor yang memerlukan penghantaran pantas, termasuk menerusi pengangkutan udara.
“Justeru, prestasi Hong Kong dalam bidang logistik, pembiayaan perdagangan, timbang tara dan perkhidmatan profesional menjadi pelengkap semula jadi kepada keupayaan Malaysia.
“Jika perniagaan anda bergantung kepada penghantaran produk dari kilang di Malaysia kepada pelanggan di mana-mana sahaja di Asia, Eropah atau Amerika Utara dengan pantas dan dokumentasi yang teratur, koridor ini perlu diberi perhatian,” katanya.
ketika menyampaikan ucaptama pada sesi pembukaan program Think Business, Think Hong Kong 2026 (TBTHK) di sini, hari ini.
Dalam aspek hubungan udara pula, Loke berkata Kuala Lumpur dan Hong Kong hanya dipisahkan kurang empat jam penerbangan serta berkongsi zon waktu sama, selain mempunyai beberapa syarikat penerbangan yang mengendalikan laluan itu setiap hari.
Katanya, Cathay Pacific turut menambah perkhidmatan harian keempat bagi laluan berkenaan sejak Mac lalu, menunjukkan permintaan komersial yang nyata dan terus berkembang.
“Pada Julai, Malaysia Airlines menambah penerbangan terus baharu dari Kuala Lumpur ke Shenzhen (SZX) dan Changsha (CSX), membina rangkaian Greater China menerusi sembilan pintu masuk ketika ini,” katanya.
Loke berkata, Malaysia Airports pula menetapkan sasaran menjadikan Malaysia negara paling mempunyai hubungan penerbangan di Asia Pasifik, disokong peluasan kapasiti di KLIA serta usaha membuka laluan terus ke Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching, bukan hanya Kuala Lumpur.
Menurutnya, hubungan dua hala itu sudahpun berkembang menerusi kehadiran syarikat dan pelabur dari kedua-dua ekonomi.
Katanya, Gobi Partners mempunyai pejabat di Hong Kong dan Kuala Lumpur serta menyokong pelbagai perniagaan di Asia Tenggara, termasuk Carsome yang menjadi unicorn teknologi pertama Malaysia.
“Plaza Premium Group pula membuka lounge lapangan terbang pertamanya di Hong Kong dan Kuala Lumpur pada tahun sama, iaitu 1998, sebelum berkembang mengendalikan operasi di lebih 600 lapangan terbang di seluruh dunia,” katanya.
Lantaran itu, beliau berkata, kerajaan akan terus memperbaiki hubungan yang memudahkan pergerakan antara Malaysia dan Hong Kong, selain memastikan perkara yang dipersetujui di peringkat rasmi dapat direalisasikan pada peringkat komersial.
“Melangkah ke hadapan, kami akan terus menambah baik hubungan dan akan melakukan yang terbaik untuk memastikan apa yang ditandatangani di peringkat rasmi benar-benar disampaikan di peringkat komersial,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pembangunan Perdagangan Hong Kong (HKTDC), Prof Frederick Ma, berkata hubungan perniagaan Malaysia dan Hong Kong diperkukuh menerusi usaha memperluas akses perusahaan tempatan kepada modal, kepakaran, rangkaian perniagaan serta pasaran serantau dan global melalui Hong Kong.
Beliau berkata, hubungan berasaskan kepercayaan dan rangkaian kukuh semakin penting ketika dunia perniagaan berdepan ketidaktentuan geopolitik, perubahan rantaian bekalan dan kemajuan teknologi yang pesat.
“Hubungan yang berlandaskan kepercayaan serta jaringan rangkaian yang kukuh menjadi semakin penting berbanding sebelum ini,” katanya. -BH Online
