GEORGETOWN: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara pesat kini mengubah landskap pekerjaan dan industri, sekali gus menjadikan pembangunan bakat sejak awal amat penting bagi merealisasikan aspirasi ekonomi Malaysia.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata AI dan teknologi baharu lain mengubah cara perniagaan beroperasi, menyebabkan Malaysia perlu melengkapkan golongan muda dengan kemahiran yang membolehkan mereka kekal relevan dalam ekonomi.
Susulan itu, beliau berkata, pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu dimulakan lebih awal, iaitu sejak peringkat pendidikan rendah dan menengah, sebelum diperkukuh melalui pendidikan tinggi, pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) dan latihan industri.
“Teknologi bergerak pantas, jadi kita perlu melengkapkan golongan muda dengan kemahiran menyesuaikan diri dengan teknologi, pekerjaan dan cabaran yang sentiasa berubah serta membolehkan mereka kekal relevan,” katanya pada majlis pelancaran rasmi projek perintis bakat STEM di Tech Dome, Komtar, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Merujuk Laporan Future of Jobs 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), Akmal berkata, 170 juta pekerjaan baharu dijangka wujud di seluruh dunia menjelang 2030, manakala 92 juta pekerjaan mungkin terjejas akibat perubahan struktur pasaran buruh.
Beliau berkata, sebanyak 86 peratus majikan turut menjangka teknologi AI dan pemprosesan maklumat akan mengubah operasi perniagaan mereka.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia perlu memperkukuh saluran pembangunan bakat bagi menyokong peralihan negara ke arah industri yang mempunyai pertumbuhan dan nilai tinggi, khususnya sektor semikonduktor.
“Pulau Pinang berada pada kedudukan baik untuk menjadi perintis model pembangunan bakat STEM yang lebih bersepadu, berdasarkan ekosistem elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta pembuatan berteknologi tinggi yang sudah kukuh di negeri itu.
“Pulau Pinang merekodkan pertumbuhan ekonomi 7.3 peratus pada 2025, mengatasi kadar pertumbuhan nasional sebanyak 5.2 peratus, manakala sektor pembuatannya berkembang 10 peratus, dipacu industri E&E dan produk optik,” katanya.
Akmal berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu mencecah RM130.3 bilion, selain menyumbang 48.9 peratus daripada eksport Malaysia setakat Jun lalu.
Beliau berkata, ekosistem perindustrian yang kukuh itu mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, namun cabarannya ialah memastikan bakat tempatan bersedia merebut peluang berkenaan.
“Industri sudah ada dan peluang juga tersedia. Persoalannya, adakah pelajar kita dan generasi akan datang bersedia merebut peluang baik ini,” katanya.
Akmal berkata, Malaysia juga perlu melahirkan 60,000 jurutera berkemahiran tinggi bagi menyokong usaha negara bergerak lebih jauh dalam rantaian nilai semikonduktor.
Beliau berkata, Malaysia perlu beralih daripada sekadar menjadi lokasi kemudahan pembuatan kepada negara yang melahirkan bakat tempatan berupaya menghasilkan produk dan teknologi bernilai tinggi.
“Kita mahu berubah daripada ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’. Ia bukan sekadar ada kilang di sini, tetapi bakat kita sendiri menghasilkan nilai lebih tinggi,” katanya.
Akmal berkata, Kementerian Ekonomi bersetuju memperuntukkan RM12.3 juta bagi tempoh empat tahun untuk menyokong pelan hala tuju STEM Pulau Pinang, dengan inisiatif itu menyasarkan penyertaan 100,000 pelajar menjelang 2030.
Beliau berkata, program itu akan menghubungkan sekolah, industri dan pelajar dalam satu ekosistem lebih luas, dengan model Pulau Pinang berpotensi diperluaskan ke negeri lain jika berjaya.
Katanya, pemain industri juga perlu memberi pendedahan langsung kepada pelajar mengenai teknologi baharu termasuk membawa mereka ke tempat kerja dan menggalakkan jurutera mengadakan lawatan serta perkongsian di sekolah.
“Daya saing jangka panjang Malaysia bergantung kepada keupayaan negara melahirkan bakat yang mampu memacu inovasi dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global,” katanya. -BH Online

