KUALA LUMPUR: Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu kembali menggembleng kekuatan yang dibina sejak beberapa dekad lalu untuk membangunkan negara, bukan sekadar melaksanakan mandat pelaburan masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata GLIC ditubuhkan untuk berkhidmat kepada pekerja, anggota tentera, jemaah haji dan pesara, justeru menyumbang kepada pembangunan negara sentiasa menjadi sebahagian daripada tujuan penubuhannya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, persoalan utama bukan lagi sejauh mana GLIC berjaya berkembang menjadi institusi pelaburan yang besar dan disegani, sebaliknya sama ada kekuatan yang dihimpunkan benar-benar dimanfaatkan demi kepentingan negara.
“GLIC ditubuhkan untuk berkhidmat kepada pekerja, perajurit, jemaah haji dan pesara, yakni rakyat Malaysia yang simpanan dan pengorbanannya membantu membina institusi ini dari bawah.
“Tanggungjawab untuk menyumbang kepada pembangunan negara sentiasa menjadi sebahagian daripada tujuan penubuhannya,” katanya dalam kata pengantar Laporan Kemajuan GEAR-uP 2026.
Anwar berkata, inisiatif GEAR-uP yang dilancarkan pada 2024 memberi terjemahan praktikal kepada mandat itu apabila enam GLIC beriltizam melabur RM120 bilion secara langsung dalam negara bagi tempoh 2024 hingga 2028.
Katanya, pelaburan itu akan disalurkan kepada sektor strategik yang dijangka membentuk fasa pertumbuhan ekonomi Malaysia seterusnya, termasuk peralihan tenaga, pembuatan termaju, semikonduktor, penjagaan kesihatan dan infrastruktur digital.
“Ini bukan modal yang mencari pulangan pasif semata-mata. Ini ialah kekayaan yang digembleng dengan tujuan yang jelas untuk negara,” katanya.
Beliau berkata, ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik, krisis iklim serta jurang ketidaksamaan yang semakin melebar, Malaysia memilih untuk melabur demi memperkukuh kestabilan dan daya tahan ekonomi domestik.
“Kesenjangan terus melebar, baik antara negara mahupun dalam kalangan rakyat. Dalam keadaan sebegini, Malaysia telah membuat pilihan yang jelas, melabur demi kestabilan, memperkukuh daya tahan dari dalam, dan memastikan hasil pertumbuhan dirasai di tempat yang paling penting, iaitu dalam kehidupan rakyat Malaysia,” katanya.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada GLIC, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), penjawat awam, agensi kerajaan dan rakan industri yang menjayakan pelaksanaan GEAR-uP sejak diperkenalkan.
Beliau berkata, usaha itu akan diteruskan dengan rakyat menjadi ukuran utama kejayaannya, selain yakin Malaysia mampu membina masa depan yang lebih adil, bermaruah dan sejahtera sekiranya kekal istiqamah melaksanakan agenda berkenaan. -BH Online
