KUALA LUMPUR: Program Government-linked Enterprises Activation and Reform Programme (GEAR-uP) diwujudkan bagi memastikan modal domestik bukan sekadar beredar dalam ekonomi, sebaliknya terus berkembang dan mencipta nilai berkekalan kepada negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata nilai sebenar sesuatu pelaburan bukan terletak pada saat modal itu memasuki negara, tetapi pada legasi yang ditinggalkan menerusi pembinaan keupayaan, pengukuhan syarikat serta pewujudan peluang pekerjaan.
Beliau berkata, sejak GEAR-uP dilancarkan pada 2024, tumpuan kerajaan adalah kepada pelaksanaan agenda yang mampu menggembleng modal tempatan bagi menyokong pembangunan ekonomi negara.
“GEAR-uP memastikan modal Malaysia bukan sekadar singgah, tetapi terus berkembang dan mencipta nilai berkekalan untuk negara.
“Enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bersama 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memastikan simpanan rakyat Malaysia dilaburkan semula bagi memacu pembangunan negara, bukan menggantikan sektor swasta tetapi merangsang penyertaannya,” katanya dalam kata pengantar laporan kemajuan GEAR-uP 2026.
Amir Hamzah berkata, reformasi bagi memperkukuh disiplin fiskal, merasionalisasikan subsidi serta memperjelas hala tuju industri menyediakan asas yang lebih kukuh untuk Malaysia berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau berkata, GEAR-uP turut mengutamakan pembangunan ekosistem pembiayaan dengan menyokong pengurus dana dan usahawan yang berani mengambil risiko, di samping membuka laluan syarikat berkembang daripada peringkat pembiayaan awal sehingga disenaraikan di Bursa Malaysia.
“Kami tidak memilih pemenang, sebaliknya membina persekitaran supaya syarikat Malaysia berjaya,” katanya.
Beliau berkata, pada 2025, jumlah modal yang diperuntukkan dan disalurkan menerusi program itu meningkat hampir tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya, manakala portfolio syarikat merekodkan pulangan keseluruhan kepada pemegang saham sebanyak lapan peratus.
“Lebih penting daripada angka ialah manfaat yang dirasai rakyat. Pelaburan hanya membawa kemakmuran apabila ia mewujudkan pekerjaan berkualiti, pendapatan adil dan peluang untuk rakyat maju.
“Justeru, kejayaan program ini diukur bukan sahaja melalui jumlah pelaburan yang disalurkan, tetapi juga melalui gaji kehidupan wajar, penempatan graduan, pertumbuhan syarikat Bumiputera dan rantaian bekalan yang berakar di Malaysia.
“Pada akhirnya, kejayaan ekonomi Malaysia bukan diukur melalui jumlah pelaburan yang dibawa masuk, tetapi melalui nilai yang ditinggalkannya, dibangunkan oleh Malaysia, untuk Malaysia dan dibina untuk generasi akan datang,” katanya. -BH Online

