Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Proses kenaikan pangkat pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dipermudah serta dipercepatkan supaya lebih hampir setara dengan skim perkhidmatan awam lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, sedang meneliti perkara itu.

“Perkara itu akan saya umumkan pada Malam Ambang Merdeka di Stadium Merdeka, 30 Ogos ini,” katanya ketika berucap pada majlis Semarak Kenegaraan di Dewan Serbaguna Kem Terendak, Sungai Udang di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Shamsul Azri; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.

Memaklumkan lanjut, Anwar berkata, perkara terbabit pernah dibangkitkannya ketika berkunjung ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas, bulan lalu.

Beliau berkata, isu penyelarasan skim perkhidmatan dan kenaikan pangkat itu menjadi perhatian sebelum ini berikutan perbezaan struktur gred berbanding sektor perkhidmatan awam biasa.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan Kerajaan MADANI tidak pernah mengabaikan kebajikan anggota tentera dan veteran, malah peruntukan Kementerian Pertahanan dinaikkan sebanyak 35 peratus berbanding pentadbiran terdahulu.

Beliau sekali gus mengumumkan peruntukan khas RM1 juta bagi kerja menaik naik taraf masjid serta surau di empat kem tentera utama di Melaka, iaitu Kem Terendak, Kem Sungai Udang, Kem Masjid Tanah dan Kem Bukit Beruang.

Selain itu, Anwar turut meluluskan sumbangan kebajikan RM147,000 kepada Badan Amal dan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) merangkumi pelbagai formasi dan pasukan di empat kem tentera berkenaan.

“Keselesaan perumahan anggota tentera pula kini berada pada tahap keutamaan tertinggi menerusi pembaikan infrastruktur oleh Kor Jurutera.

“Bagi memastikan kebajikan warga pertahanan terus terbela, perincian lanjut berhubung penambahan peruntukan perumahan dan kemudahan asas dijangka diumumkan menerusi Pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober depan,” katanya.-BH Online