Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) untuk menggubal akta baharu Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2026 akan dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kira-kira 80 peratus intipati RUU itu membabitkan proses memperketat dan memperkemaskan tadbir urus agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkenaan.

“Draf cadangan pindaan dan penggubalan Akta MARA yang baharu sudah melalui pelbagai proses panjang dan mendapat maklum balas pelbagai kumpulan pemegang taruh, termasuk daripada kementerian berkaitan.

“Antara intipati dan komponen penting draf cadangan Akta MARA yang baharu ini adalah untuk memastikan aspek tadbir urus dan disiplin kewangan MARA diperketat dan diperkemaskan sejajar dengan piawaian tadbir urus korporat antarabangsa,” katanya.

Menjelaskan perkembangan itu dalam hantaran di akaun Facebook, Asyraf Wajdi berkata, usaha itu juga bagi mengelakkan tiada ruang untuk sebarang bentuk penyimpangan dan penyelewengan sama ada dalam bentuk salah guna kuasa, rasuah atau pemborosan.

Katanya, ia boleh meruntuhkan institusi yang punya mandat besar untuk membangunkan pendidikan dan ekonomi anak bangsa yang tidak sepatutnya berlaku hanya kerana kelemahan tadbir urus.

Jun lalu, Asyraf Wajdi mengesahkan kertas dasar bagi penggubalan Akta MARA 2026 sudah diluluskan oleh Jemaah Menteri.

Terdahulu Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan MARA mempercepatkan pindaan Akta baharu itu bagi memperkukuh tadbir urus serta peranan agensi itu dalam pembangunan Bumiputera. -BH Online