Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUNCAK ALAM: Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus mempergiat pembinaan sekolah baharu bagi memenuhi pertambahan murid dan memastikan persediaan pelaksanaan penuh kurikulum baharu serta Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah pada tahun depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kerajaan kekal komited menambah pembinaan sekolah menerusi perancangan dan peruntukan tahunan bagi memenuhi keperluan masyarakat terhadap kemudahan pendidikan yang lebih kondusif.

Katanya, tahun depan menjadi tempoh penting apabila berlaku pertambahan kemasukan murid Tahun Satu, sekali gus memerlukan kemudahan sekolah yang mencukupi dan selamat.

“Kita cukup bertegas dalam soal pembinaan sekolah. Saban tahun kita lihat dalam bajet dan perancangan, pembinaan sekolah terus ditambah kerana kita maklum keperluan masyarakat.

“Tahun depan adalah tahun yang sangat penting dengan kemasukan dan pertambahan anak-anak enam tahun ke Tahun Satu. Jadi fasiliti kita mesti kondusif,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah SJKC Eco Grandeur di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han dan Pengerusi Eco World Foundation, Tan Sri Lee Lam Thye.

Fadhlina berkata, selain pembinaan sekolah, tahun depan turut menyaksikan pelaksanaan penuh kurikulum baharu membabitkan murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu.

Katanya, pelaksanaan itu sejajar usaha memperkukuh Rancangan Pendidikan Malaysia yang memberi penekanan kepada penyediaan persekitaran pembelajaran kondusif dan selamat.

Beliau berkata, Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah juga akan menjadi antara tumpuan utama KPM bagi memastikan tiada murid tercicir daripada sistem pendidikan.

“Hasrat kita adalah memastikan setiap anak mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya dan tiada yang terpinggir daripada sistem pendidikan negara,” katanya.

Pada masa sama, Fadhlina menegaskan setiap sekolah, tanpa mengira aliran atau jenis, perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan potensi murid.

“Tidak kiralah sekolah itu sekolah apa pun atau jenis apa pun, aspirasi dan hasratnya adalah untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak kita.

“Kita tidak boleh melihat sekolah secara terpisah-pisah. Apa sahaja agenda pendidikan, itulah komitmen Kerajaan MADANI dan kita mesti mengangkat setiap sekolah kerana anak-anak mempunyai potensi yang pelbagai,” katanya.

Fadhlina turut menyifatkan kerjasama awam dan swasta dalam pembinaan sekolah sebagai contoh terbaik yang wajar diperluaskan bagi menyokong pembangunan pendidikan negara.

Katanya, inisiatif EcoWorld bersama jawatankuasa sementara pembinaan SJK (C) Eco Grandeur melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) membuktikan kerjasama strategik mampu menyediakan kemudahan pendidikan berkualiti kepada masyarakat.

“Sekolah tidak akan berjaya tanpa sistem sokongan yang kuat, pentadbiran baik, disiplin serta guru memberi tumpuan kepada pembelajaran. Semoga pembinaan SJK (C) Eco Grandeur berjalan lancar dan melahirkan generasi yang akan membina negara serta masa depan,” katanya. -BH Online