KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang mengarahkan semua agensi berkaitan mengadakan perbincangan segera bagi menangani isu pokok berbahaya susulan kejadian pokok tumbang yang mengorbankan empat nyawa di Janda Baik, Bentong, Selasa lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata perbincangan itu bertujuan menyelaraskan tindakan dan mengenal pasti lokasi berisiko bagi membolehkan langkah pencegahan diambil untuk mengelakkan kejadian tersebut berulang.
“Saya telah mengarahkan EXCO yang bertanggungjawab terhadap kerajaan tempatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) memanggil semua agensi berkaitan termasuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta jabatan berkaitan mengadakan penyelarasan tindakan dengan segera,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Wan Rosdy berkata kerajaan negeri enggan membiarkan isu itu berlarutan dari sudut bidang kuasa mana-mana agensi, sebaliknya memberikan tumpuan kepada menyelesaikan masalah demi keselamatan orang ramai.
Beliau berkata pokok yang dikenal pasti berisiko akan dinilai sebelum tindakan sewajarnya termasuk penebangan jika perlu dilaksanakan.
Tindakan itu, menurut beliau tidak hanya tertumpu di Janda Baik tetapi diperluas ke lokasi lain di seluruh Pahang mengikut keutamaan berdasarkan penilaian risiko.
Terdahulu, Wan Rosdy mengadakan lawatan program Jelajah Aspirasi Pahang 1st Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura di jeti nelayan Sungai Belat, Kampung Belukar di sini.
Dalam lawatan itu, beliau meluluskan peruntukan RM30,000 bagi membaik pulih jeti nelayan tersebut selepas mendapati keadaannya memerlukan pembaikan segera demi keselamatan penduduk.– BERNAMA
