KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Kerajaan Bahrain dan rakyat negara itu kepada Malaysia untuk membantu menjayakan penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Oktober depan.
Anwar berkata beliau berkesempatan mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali berhubung penganjuran perlumbaan berkenaan.
Beliau berkata Malaysia berbesar hati menyokong Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam menjayakan acara berkenaan di Sepang.
“Ini bukan sekadar penganjuran acara sukan bertaraf dunia. Kerjasama ini mencerminkan persahabatan yang berkekalan, kepercayaan bersama dan hubungan erat antara Malaysia dengan Kerajaan Bahrain, selain mengesahkan kesediaan serta keupayaan Malaysia menganjurkan acara antarabangsa berskala besar,” katanya di laman Facebook miliknya hari ini.
Menurut Anwar, Malaysia bersedia mengalu-alukan kepulangan Formula 1, FIA, pasukan perlumbaan serta peminat dari seluruh dunia ke Sepang.
Beliau berkata penganjuran itu memberi peluang kepada Malaysia untuk mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, kecekapan operasi dan layanan mesra negara, selain memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Bahrain.
“Malaysia bersedia menyambut Formula 1, FIA, pasukan dan peminat dari seluruh dunia kembali ke Sepang. Kami berharap dapat mempamerkan keupayaan serta hospitaliti Malaysia, di samping mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara menerusi acara istimewa ini,” katanya. -Astro Awani
