PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan semua agensi dan syarikat perlu berganding bahu dalam pembangunan program Bumiputera kerana tanggungjawab itu bukan hanya perlu ditampung agensi tertentu sahaja.
Perdana Menteri berkata, atas dasar itu, kerajaan tiada kecenderungan untuk menubuhkan agensi Bumiputera baharu kerana program pembangunan golongan itu perlu turut sama dijayakan semua pihak berkaitan di bawah agenda nasional.
Beliau turut mengingatkan bahawa program pembangunan Bumiputera tidak boleh dilaksanakan secara solo atau bertindih, sebaliknya perlu sealiran antara agensi untuk saling melengkapi.
“Sebab itu saya tidak cenderung menubuhkan agensi Bumiputera baharu tetapi saya cenderung memastikan agensi ini (sedia ada) diperkasa…(program) agensi, jabatan lain dan kementerian semuanya mesti diselaraskan.
“Baru-baru ini saya panggil semua pengurusan syarikat milik kerajaan termasuk GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) yang ada termasuk yang khusus untuk Bumiputera, iaitu Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), MARA (Majlis Amanah Rakyat) dan sebagainya.
“Ada Maybank, PETRONAS yang besar-besar. Tapi saya ingatkan program pembangunan Bumiputera bukan tugas khusus bagi agensi Bumiputera semata-mata, tetapi menjadi agenda nasional,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SParK 2026: Transformasi Niaga, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, meletakkan agenda pembangunan Bumiputera di bawah agensi tertentu sahaja adalah mentaliti lama dan perubahan perlu dilakukan bagi memastikan pelaksanaan programnya lebih utuh.
Beliau berkata, pihaknya turut meminta pertemuan berkala antara agensi berkaitan termasuk Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan MARA dilaksanakan untuk mengemudi agenda memacu pertumbuhan dan menyelamatkan Bumiputera dengan tatakelola yang baik.
Malah, katanya, melalui mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera, beliau turut mendengar laporan daripada setiap agensi dalam usaha mereka membantu agenda Bumiputera.
“Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera membabitkan agensi Bumiputera dan nasional termasuk PETRONAS contohnya harus menjelaskan kepada kita.
“Apa yang dilakukan sebagai tambahan untuk memastikan penyertaan Bumiputera dalam industri minyak, gas dan juga bidang baharu,” katanya.
Beliau berkata, semua agensi perlu memainkan peranan dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang segar, tangkas,
rancak dalam semua aspek selain pengagihan yang adil dan saksama termasuk agenda Bumiputera.-BH Online
