JOHOR BAHRU: Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memperkukuh pemantauan terhadap kandungan dalam talian sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, khususnya melibatkan isu sensitif berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pemantauan itu dilaksanakan secara berterusan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), terutama dalam menangani kandungan yang berpotensi mencetuskan ketegangan.
Beliau berkata walaupun kempen pilihan raya semakin rancak, semua pihak perlu memainkan peranan memastikan suasana kekal harmoni dan berhemah.
“Kita perlu menggalakkan satu budaya kempen yang sihat dan berbudi bahasa, tidak kiralah daripada mana-mana parti.
“Kami sebagai pemimpin perlu sentiasa mengingatkan penyokong supaya tidak menyentuh isu perkauman, agama atau perkara berkaitan 3R sepanjang tempoh kempen,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau dan beramah mesra bersama pengamal media di Pusat Media Kementerian Komunikasi, di sini pada Ahad.
Sebelum ini perjalanan PRN Johor sedikit panas apabila bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi, mengkritik kepimpinan UMNO Johor serta menyentuh Istana Johor melalui platform media sosial.
Setakat ini, sebanyak 153 laporan polis telah direkodkan berhubung perkara tersebut.
Kes berkenaan kini berada dalam perhatian pihak berkuasa, selaras dengan prosedur siasatan sedia ada melibatkan kenyataan yang menyentuh isu sensitif, termasuk aspek institusi diraja dalam tempoh kempen pilihan raya.
Teo berkata, setakat ini pelbagai laporan berkaitan kandungan berunsur provokasi telah direkodkan, namun pendekatan utama adalah memastikan tindakan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada tanpa mengira latar belakang politik.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa bagi kes melibatkan 3R, PDRM bertanggungjawab menjalankan siasatan, manakala MCMC memainkan peranan dari sudut pemantauan dan tindakan terhadap kandungan digital.
Katanya, kerjasama antara agensi akan memastikan sebarang kandungan yang melanggar garis panduan atau berunsur hasutan dapat diturunkan dengan segera.
“MCMC akan terus memantau dan jika terdapat kandungan yang terlalu provokatif atau menyentuh isu 3R, kita akan bekerjasama dengan PDRM untuk mengambil tindakan termasuk menurunkannya.
“Pendekatan ini tidak memihak kepada mana-mana pihak kerana ia melibatkan kepentingan awam dan keharmonian negara,” katanya lagi.
Selain penguatkuasaan, Teo turut menekankan kepentingan literasi media dalam kalangan rakyat, termasuk keupayaan untuk menilai kesahihan maklumat sebelum dikongsikan.
Beliau berkata inisiatif seperti platform semakan fakta yang digerakkan Majlis Media Malaysia juga perlu dimanfaatkan bagi membendung penularan maklumat tidak tepat sepanjang tempoh kempen.
Dalam perkembangan berkaitan, Teo turut menyeru semua pihak, termasuk penyokong parti politik, agar menolak sebarang bentuk kempen negatif seperti merosakkan bahan kempen pihak lawan.
Menurutnya, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak mencerminkan budaya politik matang, malah tidak memberi kesan kepada kekuatan calon bertanding.
Beliau menegaskan bahawa tempoh kempen seharusnya dimanfaatkan untuk menyampaikan idea dan tawaran kepada pengundi, bukan mencetuskan ketegangan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.-Astro Awani
