SEREMBAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan cabaran utama dihadapi negara ini bukan berpunca daripada isu kaum, sebaliknya disebabkan golongan yang menyalahgunakan kuasa.
Perdana Menteri berkata, rakyat daripada pelbagai latar belakang kaum dan etnik perlu terus memperkukuhkan perpaduan serta menolak usaha pihak tertentu yang cuba menanam kebencian dalam masyarakat.
“Kepelbagaian kaum di Malaysia merangkumi masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli, Iban dan Kadazan, adalah satu kekuatan mutlak.
“Masalah kita bukan isu kaum tetapi salah guna kuasa… apakah kita mahu ini diteruskan?” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia, di sini, malam tadi.
Hadir sama ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Pengasas PLG, Datuk Abdullah Ghani Kassim; dan Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA (Direct Solutions), Datuk Mohd Efendi Omar.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan hujah sesetengah pemimpin yang sering menggunakan sentimen perkauman untuk memecahbelahkan masyarakat.
Beliau berkata, rakyat pelbagai kaum sebenarnya mampu hidup harmoni, bekerjasama dan bangkit sebagai satu kekuatan besar sekiranya tidak dipengaruhi sentimen kebencian yang sengaja dicetuskan pihak tertentu.
“Kita mesti tunjukkan bahawa kita mempunyai kekuatan untuk membawa perubahan ke arah kebaikan.
“Perjuangan, usaha dan ikhtiar kita untuk masa depan anak-anak dan negara mesti diteruskan,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin perlu bersikap jujur dan ikhlas ketika diberikan amanah untuk menjaga dan memakmurkan negara.
“Kalau nak jaga negara, nak bentuk masa depan negara, nak bela nasib rakyat… bekerjalah dengan ikhlas, jangan curi… bukan asyik nak minta komisen… ini yang menjahanamkan negara, tapi ini tidak diceritakan,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan negara memerlukan pemimpin yang ikhlas dan bersedia untuk bekerjasama membela nasib rakyat.
Anwar turut menyeru khususnya golongan muda supaya terus terbabit dalam usaha membawa perubahan positif kepada negara serta menjayakan agenda reformasi.
“Kita mesti tunjukkan bahawa kita mempunyai kekuatan untuk membawa perubahan ke arah kebaikan.
“Perjuangan, usaha serta ikhtiar kita untuk masa depan anak-anak dan negara mesti diteruskan,” katanya. -BH Online
