PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-79 (WHA79) di Geneva, mulai hari ini hingga 23 Mei, yang merupakan fasa penting dalam usaha negara menterjemahkan pembaharuan domestik kepada impak global.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan bahawa penyertaan Malaysia pada perhimpunan tahunan menteri kesihatan, pegawai kanan dan pembuat dasar dari negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu mencerminkan peralihan daripada pengiktirafan global ke arah melaksanakan pembaharuan kesihatan yang menyediakan keperluan menyeluruh kepada rakyat untuk manfaat awam.
Menurut kenyataan itu, kemuncak utama lawatan itu ialah Kenyataan Negara Malaysia yang dijadual disampaikan esok, dengan negara bakal mengetengahkan sokongan terhadap pembaharuan kesihatan yang mengutamakan rakyat serta bantuan kemanusiaan tanpa halangan di seluruh dunia.
“Kepimpinan intelektual Malaysia akan diperlihatkan melalui 18 intervensi strategik yang menangani isu kritikal seperti malaria, kesihatan mental, penyakit tidak berjangkit (NCD), dan penjagaan kesihatan yang lebih mampu milik serta mudah diakses,” katanya.
Menurut KKM, Dr Dzulkefly juga dipelawa menyampaikan ucaptama serta mengetuai perbincangan dalam enam forum antarabangsa peringkat tinggi yang memberi tumpuan kepada kesihatan paru-paru, kesihatan mata, sains tingkah laku, hepatitis dan penyakit jarang berlaku.
Pada peringkat serantau, KKM memaklumkan bahawa Malaysia sedang menerajui cadangan Deklarasi ASEAN mengenai Penyakit Jarang Berlaku yang bertujuan memastikan pesakit, terutama kanak-kanak, menerima diagnosis lebih awal dan penjagaan khusus yang saksama.
Di dalam negara pula, katanya, Pelan Tindakan Kebangsaan untuk Sains Tingkah Laku yang bakal dilancarkan akan memperkukuh kempen ‘Perang Memerangi 5S’ yang menyasarkan gula, merokok, garam, stigma dan gaya hidup tidak aktif, sebagai sebahagian daripada usaha menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) serta agenda kesihatan mental.
“Perbincangan kerjasama dua hala strategik juga dijadual diadakan dengan Sepanyol untuk melihat kemungkinan mengadaptasi model pendermaan organ negara itu, yang dianggap sebagai ‘standard emas’ global, untuk pesakit Malaysia.
“Malaysia juga akan mengadakan perbincangan dengan Singapura, Vietnam dan Bangladesh bagi memperkukuhkan kerjasama serantau dalam kesihatan digital serta keselamatan kesihatan,” menurut kementerian itu lagi.
Dalam pada itu, KKM turut memaklumkan bahawa kejayaan Malaysia menyediakan ubat-ubatan penting yang mampu milik, telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan Medicines Patent Pool memilih negara sebagai kajian kes global untuk penerajuan dalam tindak balas HIV kebangsaan.
Katanya, pencapaian penting itu mengukuhkan komitmen KKM bawah rangka kerja MADANI untuk membina sistem penjagaan kesihatan yang saksama, moden dan inklusif untuk semua rakyat Malaysia.-BH Online
