DUNGUN: Kira-kira 40,000 pengguna di Pantai Timur mendapat manfaat melalui projek Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong berkapasiti 100 megawatt (MW).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata projek BESS itu antara sistem penyimpanan tenaga bateri utiliti berskala besar pertama di negara ini yang selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), berkata BESS Santong yang dikenali sebagai ‘bank tenaga pintar’ dengan teknologi grid-forming mampu menyimpan lebihan tenaga dan menyalurkannya semula apabila diperlukan.
“Projek sistem BESS Santong berkapasiti 100 megawatt (MW) dengan simpanan tenaga 400 megawatt-jam (MWh) dibangunkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjadi langkah penting dalam memperkukuhkan kestabilan bekalan elektrik negara.
“Untuk memastikan grid kita berada dalam keadaan stabil, bateri adalah satu cara untuk memastikan bukan saja sumber bekalan, tetapi juga kestabilan bekalan,” katanya selepas Majlis Perasmian sistem BESS Santong di Paka, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.
Fadillah berkata, BESS Santong atau bank tenaga pintar pertama di negeri ini mampu menyimpan lebihan tenaga dan menyalurkan semula apabila diperlukan.
Katanya, projek bernilai kira-kira RM380 juta itu mula beroperasi 16 April lalu dan mempunyai jangka hayat sehingga 15 tahun.
“Sektor tenaga itu mampu menyumbangkan kira-kira 70 peratus daripada tenaga yang boleh diperbaharui ataupun daripada tenaga yang bersih.
“Jika keterjaminan dari segi kelestarian dijaga, ia tidak akan memberi manfaat dari segi kemampuan tidak dilihat,” katanya.
Fadillah berkata, projek dibangunkan TNB itu berupaya memberi tindak balas pantas kepada perubahan bekalan dan permintaan tenaga, terutama menyokong integrasi termasuk tenaga solar.
Katanya, pembangunan tenaga negara perlu memenuhi tiga keperluan utama iaitu keterjaminan bekalan, kelestarian dan kemampuan kos kepada rakyat.
“Kita nak pastikan bekalan terjamin, pada masa sama mesra alam dan tidak membebankan rakyat serta kekal kompetitif kepada industri,” katanya.
Fadillah berkata, sistem itu mampu membekalkan tenaga sehingga empat jam sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.
Pada masa sama, katanya, kerajaan menggesa lebih banyak pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mengurangkan kebergantungan kepada import teknologi bateri.
“Kita tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada negara luar, sebaliknya perlu membina keupayaan sendiri termasuk dalam pengeluaran bateri dan teknologi tenaga,” katanya.-BH Online
