KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melancarkan Pelan Strategik MAIWP 2026-2030 yang akan mengintegrasikan penggunaan teknologi tinggi, termasuk kecerdasan buatan (AI).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata penggunaan teknologi AI bertujuan memperkukuh proses profil asnaf serta menilai impak program bantuan dengan lebih tepat dan berkesan.
“Apa yang kita usahakan bukan sekadar pelancaran pelan tindakan, tetapi satu mekanisme untuk mengukur sejauh mana bantuan yang disalurkan benar-benar memberi impak dan memenuhi keperluan sebenar asnaf.
“Melalui teknologi AI, kita dapat memastikan setiap tindakan adalah berdasarkan data agar tiada asnaf yang tercicir, di samping menguruskan pertambahan asnaf baharu dengan lebih sistematik,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MAIWP 2025 dan pelancaran Pelan Strategik MAIWP 2026-2030 di sini, semalam.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut menzahirkan penghargaan atas kejayaan MAIWP mengekalkan Sijil Audit Bersih daripada Jabatan Audit Negara bagi tahun ke-19 berturut-turut, sekali gus membuktikan kecemerlangan tatakelola dan ketelusan agensi itu dalam menguruskan dana ummah.
Zulkifli berkata sepanjang 2025, MAIWP mencatatkan kutipan zakat sebanyak RM1.205 bilion manakala agihan pula mencecah RM1.22 bilion menerusi 38 skim bantuan.
“Malah setakat 12 Mei tahun ini (2026), sebanyak RM447 juta dana zakat telah pun diagihkan kepada golongan asnaf yang memerlukan,” katanya.
Mengenai Pelan Strategik 2026-2030, beliau berkata ia mengandungi tiga teras strategik dan empat pemacu utama yang merangkumi 34 strategi, 75 inisiatif serta 128 indikator prestasi (KPI).
Pelan tersebut turut memberi penekanan kepada aspek kelestarian bagi memastikan MAIWP sentiasa bersedia menawarkan solusi kepada rakyat dalam menghadapi cabaran ekonomi global.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 370 warga kerja MAIWP diraikan merangkumi 117 penerima APC, 243 pegawai menerima Sijil Penghargaan Perkhidmatan dan 10 penerima Anugerah Perkhidmatan Setia bagi tempoh 25 tahun perkhidmatan.
Zulkifli turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja atas dedikasi mereka dan berharap budaya kerja cemerlang berasaskan nilai amanah serta ihsan terus diperkukuh demi memartabatkan agama dan menyantuni masyarakat.
Turut hadir Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Nizam Yahya.– BERNAMA
