PUTRAJAYA: Keputusan membuka laluan kepada lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), tidak bermaksud kerajaan mengorbankan dasar pendidikan negara atau mengiktiraf sistem lain.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, menegaskan dasar pendidikan negara kekal tidak berubah dan syarat utama untuk melangkah masuk ke IPTA masih berasaskan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Perbahasan kita berkaitan dengan sistem pendidikan sebagai contoh. Apabila kita melakukan ini (membuka laluan kepada luar sistem pendidikan kebangsaan), adakah kita mengorbankan sistem pendidikan kita?
“Termasuklah semalam apabila membuat keputusan untuk membuka ruang, bukan ruang memberi pengiktirafan, (sebaliknya) sistem pendidikan negara tetap tidak berubah, kita tidak akan mengiktiraf sistem lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti di sini, hari ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kenyataan semalam memaklumkan, calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).
Bagi calon lepasan SMPC/UEC pula, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Mesyuarat Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa calon daripada aliran terbabit yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui KPM boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program tertentu di IPTA.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, lepasan daripada mana-mana sistem pendidikan tetap perlu memenuhi syarat ditetapkan bagi melanjutkan pengajian ke IPTA.
“Sebab anda ‘mengaji’ (belajar) di mana sekali pun, akhirnya untuk masuk ke universiti mesti berasaskan kepada sistem kita iaitu SPM.
Tapi itulah, apabila keputusan dibuat, dah jadi isu, dimanipulasi seolah-olah kita sudah mengorbankan sistem pendidikan kita,” katanya.-BH Online
