Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pembatalan perolehan peluru berpandu anti kapal (NSM) daripada syarikat Norway, Kongsberg Defence & Aerospace ASA (KDA).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya mengambil maklum berhubung perubahan polisi kerajaan Norway yang memberi kesan kepada kelulusan eksport pertahanan sekali gus menjejaskan pelaksanaan kontrak terbabit.

“Kementerian Pertahanan sememangnya mempunyai kontrak perolehan dengan pihak KDA bagi pembekalan peluru berpandu NSM untuk melengkapkan keupayaan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kementerian juga mengambil perhatian terhadap perubahan pendirian kerajaan Norway berkaitan kelulusan eksport pertahanan yang memberi kesan kepada pelaksanaan kontrak berkenaan.

“Sehubungan itu, kerajaan Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta membincangkan langkah yang sewajarnya demi menjaga kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebuah portal pertahanan tempatan sebelum ini melaporkan, Mohamed Khaled dikatakan dimaklumkan berhubung pembatalan perolehan itu daripada wakil KDA ketika Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 baru-baru ini.

Mohammed Khaled berkata, walaupun perolehan itu kini tergendala pihaknya terus memastikan kesiapsiagaan TLDM tidak terjejas dan sentiasa pada tahap terbaik.

Katanya, tindakan seterusnya akan diambil selepas mengambil kira kepentingan strategik pertahanan negara selain menjaga hubungan baik kedua-dua negara yang sudah terjalin sejak sekian lama.-BH Online