KUALA LUMPUR, 21 April – Kerajaan memberi jaminan tidak akan membuat perubahan mengejut terhadap dasar subsidi bahan api walaupun krisis geopolitik di Asia Barat terus menekan pasaran tenaga global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan penelitian data yang menyeluruh, bukan secara tergesa-gesa.
“Kita sedar bahawa cabaran ini, kita tidak tahu berapa lama konflik di Asia Barat itu akan berlaku. Ada jangkaan mengatakan paling cepat setahun, ada mengatakan sehingga dua tahun.
“Bagi memulihkan semula bekalan tenaga itu sendiri mengambil masa setahun paling cepat,” katanya ketika menjadi tetamu program temu bual eksklusif Bernama Radio bertajuk “Krisis Geopolitik Pacu Peralihan Tenaga Malaysia” hari ini.
Menurut Datuk Seri Fadillah, kerajaan akan berpandukan data bagi memastikan bekalan tenaga terjamin, rakyat dilindungi, ekonomi terus berkembang dan industri kekal disokong.
“Perdana Menteri melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus melibatkan pelbagai pihak termasuk industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam merangka dasar secara menyeluruh,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan itu memberi tumpuan kepada bantuan kepada golongan terkesan, memastikan ekonomi terus berkembang serta kebajikan rakyat terpelihara.-Berita RTM
