KUALA LUMPUR, 21 April – Strategi pertahanan ASEAN perlu disesuaikan segera dengan perkembangan teknologi baharu yang semakin mengubah corak peperangan moden.
Perkara itu ditegaskan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Jelasnya, kemajuan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), sistem autonomi, teknologi kuantum dan angkasa bukan sahaja menyokong keupayaan ketenteraan, malah berupaya mengubah landskap keselamatan global.
“Teknologi baharu ini bersifat disruptif, mengubah definisi kuasa ketenteraan daripada platform tradisional kepada sistem yang lebih bersepadu dan autonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Putrajaya ke-8 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), dengan tema “Asian Security at the Age of EmergingTechnologies.”
Dalam pada itu, beliau berkata konflik yang berlaku ketika ini menunjukkan peperangan kini lebih bergantung kepada keupayaan teknologi serta integrasi maklumat yang pantas dan tepat.
Menurutnya, pendekatan pertahanan juga perlu berubah termasuk mengurangkan kebergantungan kepada aset berteknologi tinggi yang mahal semata-mata.
Sebaliknya, katanya, tumpuan perlu diberikan kepada penggunaan sistem berskala besar yang lebih kos efektif seperti dron, disokong keupayaan digital, data dan kecerdasan buatan.
“Keunggulan dalam peperangan masa hadapan bergantung kepada penguasaan maklumat. Siapa yang mampu mengumpul, memproses dan bertindak lebih pantas, dialah yang akan mendahului,” jelas beliau.
Dalam konteks serantau, beliau berkata ASEAN kini berada di persimpangan penting dalam memastikan kestabilan dan keselamatan terus terpelihara.
Justeru, katanya, negara anggota perlu bukan sahaja meningkatkan pelaburan dalam teknologi, tetapi turut menitikberatkan aspek etika dan kestabilan dalam penggunaannya.
Forum Putrajaya ke-8 menghimpunkan pakar keselamatan, pembuat dasar dan pemain industri bagi membincangkan cabaran serta hala tuju baharu dalam landskap keselamatan serantau.-Berita RTM
