Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) kedua dari Turkiye dijangka siap dan diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada awal 2028, sekali gus memperkukuhkan keupayaan aset dalam mengawasi keselamatan perairan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perolehan kapal kedua itu adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan mempertingkat aset dan kesiapsiagaan Maritim Malaysia.

“Perolehan kapal MPMS kedua ini diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, ‘Rolling Plan’ kelima pada 2025 dan dianugerahkan kepada DESAN Shipyard berpangkalan di Istanbul dengan nilai AS$83.75 juta (RM331.36 juta).

“Melalui kontrak ini, DESAN berjanji untuk melaksanakan projek dalam tempoh 24 bulan dan sasaran kita kapal ini dapat disiapkan serta diterima sekitar awal 2028,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak perolehan MPMS kedua untuk Maritim Malaysia di Kompleks Setia Perkasa, di sini hari ini.-BH Online