KUALA NERUS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam di negara ini agar memperkukuh penguasaan ilmu teknologi baharu termasuk Kecerdasan Buatan (AI) tanpa meminggirkan nilai tradisi serta penghayatan al-Quran.
Beliau berkata, penguasaan ilmu baharu itu adalah persiapan kritikal bagi menghadapi cabaran semasa dunia, di samping memastikan umat Islam terus berpegang teguh kepada ajaran agama.
“Kita harus menggapai di langit melalui penguasaan ilmu baharu seperti AI dan teknologi maklumat, namun pada masa sama, landasan tradisi dan nilai Islam tidak boleh ditinggalkan.
“Inilah persiapan yang diperlukan untuk memecahkan tembok menghalangi kemajuan kita,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah di sini malam ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mengulas situasi global, Anwar berkata konflik yang melanda Gaza, selatan Lubnan serta serangan ke atas Iran perlu dijadikan pengajaran besar tentang kepentingan kesiapsiagaan ilmu serta teknologi.
Beliau berkata keganasan rejim Zionis Israel selama lebih tujuh dekad itu menunjukkan bahawa tanpa kekuatan akidah, sahsiah dan kepintaran teknologi, umat Islam akan terus berdepan dengan kepincangan.
“Sebelum ini tiap kali serangan Israel dan sekutunya Amerika Syarikat itu hampir tidak berupaya dibalas. Hanya kali ini kita melihat zahirnya kekuatan baharu, melalui kekuatan semangat dan daya juang disertai dengan kekuatan serta kecanggihan teknologi,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan keperluan merombak sistem pendidikan negara supaya kekal berlandaskan akar tradisi sambil meneroka bidang serta teknologi baharu secara serius.
“Saya rumuskan dengan mengatakan bahawa memang sistem penjajah di seluruh dunia Islam itu berhasil merobohkan kekuatan lama tanpa upaya membina yang baharu,” katanya.
MTHQK 2026 bertemakan ‘Kalam Illahi Tradisi Diwarisi’ menyaksikan penyertaan 108 peserta terdiri daripada 14 qari, 14 qariah dan 80 peserta hafazan dari seluruh negara yang bertanding selama enam hari bermula malam tadi hingga 18 April.
Sementara itu, pertandingan membabitkan dua kategori utama iaitu tilawah (qari dan qariah), serta tiga kategori hafazan iaitu 10 juzuk berserta mujawwid, 20 juzuk dan 30 juzuk berserta tafsir.
Selaras dengan usaha pendigitalan, penganjuran kali ini menampilkan pembaharuan termasuk penggunaan sistem eMTHQ sebagai platform utama pengurusan pertandingan, selain pengaplikasian teknologi AI dalam segmen ibrah.
Pelantikan jemaah hakim pula terdiri daripada kalangan peserta Projek Rintis Modul Kompentensi Pelapis MTHQK yang akan mengadili aspek fasohah, tajwid, suara, persembahan serta taranum.
Penambahbaikan format pertandingan tilawah dan hafazan bagi meningkatkan tahap cabaran kepada peserta juga dilaksanakan.-BH Online
