KUALA LUMPUR: Malaysia sedang menerajui pemodenan dalam pelaksanaan audit bagi membolehkan sebarang risiko dan kejanggalan dalam tata kelola organisasi dapat dikesan lebih awal, sebelum ia menjadi masalah lebih besar.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata antara reformasi berteraskan inovasi digital yang dilaksanakan, termasuk Sistem e-SelfAudit, yang menggalakkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam entiti kerajaan dan Mekanisme Ketidakteraturan Serius, bagi pengesanan awal serta tindakan pantas terhadap sebarang ketidakpatuhan.
Selain itu, Sistem Papan Pemuka Ketua Audit Negara (AGD) memastikan pemantauan masa nyata dan kebertanggungjawaban awam serta kecerdasan buatan (AI) dan analisis data raya, yang mampu meningkatkan ketepatan, kepantasan dan impak audit.
“Ini adalah usaha yang sedang berkembang dan paling penting, membolehkan pengesanan awal terhadap risiko.
“Berdasarkan data masa nyata, kita dapat mengesan kejanggalan dan isu yang mula muncul jauh lebih awal sebelum ia berkembang menjadi masalah besar.
“Keupayaan proaktif ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dicapai melalui model audit tradisional,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Konfederasi Asia Institut Juruaudit Dalaman (ACIIA) 2025 di sini, hari ini. Majlis dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wan Suraya berkata, melalui AGD, Jabatan Audit Negara (JAN) dapat memantau kemajuan pelaksanaan syor audit secara masa nyata, berbanding hanya bergantung kepada pemantauan secara manual dan laporan berasingan sebelum ini.
Ia sekali gus, katanya, dapat menepis tanggapan bahawa isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tidak diberi perhatian atau JAN hanyalah sebuah organisasi yang tidak mempunyai kuasa.
“Adalah penting untuk memastikan syor yang dikemukakan membawa kepada penambahbaikan dari tahun ke tahun.
“Jika kelemahan sama terus berulang dan saya sendiri sering melihat kepada organisasi yang dikesan selama tiga tahun berturut-turut, ini menunjukkan budaya tata kelola dalam organisasi itu perlu diperkukuh,” katanya.
Beliau juga menggesa juruaudit dan juruaudit dalaman supaya memantapkan lagi mekanisme susulan terhadap audit yang dibuat serta menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) dan prosedur operasi standard (SOP) yang boleh diukur, yang mampu menunjukkan pengurangan ketara dalam penemuan ketidakpatuhan berulang dari semasa ke semasa.
“Budaya tata kelola yang proaktif dibina atas kepercayaan bersama bahawa pengesanan awal dan penambahbaikan berterusan adalah keutamaan organisasi, bukan sekadar memenuhi keperluan pematuhan.
“Dalam pelaksanaan bajet, perolehan atau penyampaian dasar, rakyat mesti diyakinkan bahawa sumber awam diurus secara telus dan dengan tujuan yang jelas,” katanya.-BH Online
