Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Taklimat khas berhubung kejadian letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, Subang, akan diadakan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Isnin depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata taklimat itu dianjurkan khusus kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor sama ada daripada blok kerajaan mahupun pembangkang.

Saya memohon Speaker DUN Selangor supaya memberi kerajaan ruang untuk menjelas dan menerangkan isu berkenaan.

“Kerajaan negeri berdiri atas prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan akauntabiliti. Kita menjunjung penuh prinsip dan mandat rakyat,” katanya dalam hantaran melalui Facebook rasmi beliau, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dilapor mengesahkan tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dikenal pasti menjadi punca letupan dalam kejadian pada pagi 1 April lalu.

Justeru, polis mengklasifikasikan insiden berkenaan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) tetapi sekiranya terdapat bukti atau keterangan baharu ditemui, pihaknya komited meneruskan semula siasatan.

Susulan itu, Amirudin dipetik berkata, Kerajaan Selangor akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mencadangkan pembaharuan undang-undang, selain menilai tatacara kelulusan kebenaran merancang.

Media sebelum ini melaporkan Speaker DUN Selangor, Lau Weng San, berkata sidang kali ini yang dijadualkan membuka tirai pada 7 Julai, akan memberi tumpuan kepada beberapa isu utama termasuk tragedi di Putra Heights itu.

Selain itu, antara isu lain dijangka dibangkitkan wakil rakyat ialah pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), banjir serta inisiatif pelaburan yang memberi dampak besar kepada ekonomi.-BH Online