KOTA BELUD: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia membuat penambahbaikan dalam memperbaiki perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) khususnya dalam mengendalikan permohonan dokumen pengenalan diri.
Ia susulan pendedahan dibuat Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenai kelewatan tidak wajar dilakukan seorang pegawai penyiasat JPN Sabah dalam mengendalikan permohonan kad pengenalan baharu membabitkan seorang kanak-kanak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya menghormati pendedahan EAIC dan menerimanya sebagai teguran untuk memperbaiki mutu perkhidmatan JPN kepada rakyat.
“Dari sudut piagam pelanggan, kita sangat (mengutamakan) keselesaan kepada pelanggan kita iaitu kepantasan dari segi sistem penyampaian.
“Tapi kita tidak pernah mengabaikan aspek keselamatan. Bermaksud sesuatu permohonan, jika ia lengkap berdasarkan pada dokumen sah, maka kita punya piagam pelanggan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat jelas (untuk mengendalikan permohonan itu).
“(Contohnya), berapa lama permohonan itu perlu diselesaikan oleh pegawai di peringkat agensi JPN dan rakyat akan diberitahu tentang kedudukan permohonan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Kampung Angkat MADANI KDN di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan Abai, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata pihaknya terbuka untuk meningkatkan proses dan prosedur perkhidmatan di bawah kementeriannya, namun turut menjelaskan sesetengah permohonan berkaitan dokumen pengenalan diri ditolak atas beberapa faktor tertentu.
“Tanpa merujuk spesifik kepada kes seperti ini (yang didedahkan oleh EAIC), perlu juga saya sebutkan bahawa ada juga berlaku di mana permohonan daripada rakyat itu yang sama ada gagal ataupun kami tolak terus.
“Ini kerana dokumen dikemukakan itu adalah dokumen palsu. Misalnya, (berkaitan maklumat) klinik bersalin, di mana sebenarnya tidak berlaku pun proses kelahiran di sana.
“Tapi klinik ini digunakan untuk mengeluarkan pengesahan kelahiran. Jadi, ibu bapa ambil pergi ke JPN, kemudian bawa bayi dia yang mungkin mereka ambil (sebagai) anak angkat daripada rumah jagaan dan sebagainya.
“Sudah tentulah JPN akan lakukan proses semakan, kadang-kala kita tolak (permohonan) itu,” katanya.-BH Online