Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JAKARTA: Cadangan Malaysia dan Indonesia membangunkan potensi ekonomi secara bersama (JD) di kawasan Laut Sulawesi belum dimuktamadkan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, berkata pelbagai proses perlu diambil kira terlebih dahulu, terutama mendapatkan pandangan dan persetujuan kerajaan Sabah.

Katanya, mekanisme perundingan sedia ada antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah akan digunakan sepenuhnya termasuk Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.

“Apa pun, JD di Laut Sulawesi adalah hal yang masih dalam pertimbangan dan sememangnya belum dimuktamadkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mohamad berkata, cadangan JD di Laut Sulawesi membabitkan ND6 dan ND7, atau dirujuk oleh Indonesia sebagai ‘Ambalat’, dilaporkan memiliki simpanan sumber asli seperti minyak dan gas yang signifikan bukanlah sesuatu yang baharu. 

Malah, katanya, pada 2022, perdana menteri ketika itu pernah mengarahkan PETRONAS mempertimbang kajian mengenai cadangan JD berkaitan.

Terbaharu, Mohamad memaklumkan isu berkaitan blok ND6 dan ND7 turut dibangkitkan pada lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Jakarta pada 27 Jun.

“Perkara ini memang ada dibincangkan. Namun demikian, ia belum dimuktamadkan. Bahkan, Perdana Menteri sendiri menyebut kepentingan Sabah dalam perkara ini mesti diambil kira dan dilihat secara adil,” jelasnya.

Mohamad berkata, Malaysia dan Indonesia tidak boleh mencari gali kedua-dua blok ini berikutan ia masih dalam pertikaian dari sudut persempadanan maritim antara kedua-dua buah negara.

“Melihat kepada potensi ekonomi yang signifikan ini – sementara proses pemuktamadan persempadanan maritim di Laut Sulawesi antara kedua-dua buah negara berjalan – ada pihak mencadangkan Malaysia dan Indonesia membangunkan potensi ekonomi ini secara bersama,” katanya.

Mohamad menekankan proses untuk memuktamadkan sempadan maritim di Laut Sulawesi adalah usaha jangka panjang dan kompleks, yang dilaksanakan menerusi sebuah Jawatankuasa Teknikal yang diterajui oleh Kementerian Luar.

Jawatankuasa dianggotai pelbagai agensi kerajaan termasuk Kerajaan Sabah, Majlis Keselamatan Negara (Sabah), Pejabat Peguam Negara (Sabah), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Tanah dan Ukur Sabah serta agensi teknikal lain yang berkaitan.

Mohamad menegaskan, Kerajaan Malaysia tetap komited untuk meneliti secara mendalam dan mencapai persefahaman bersama berhubung perkara ini melalui rundingan yang berteraskan mekanisme sedia ada.

“Dalam apa jua perkembangan, kedaulatan negara serta kepentingan strategik, khususnya membabitkan Sabah, akan terus dijaga dan dipertahankan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata, perjanjian persempadanan maritim yang dimeterai dengan Indonesia pada 2023 tidak menjejaskan hak wilayah atau kedaulatan Malaysia ke atas perairan timur Sabah.

Mohamad berkata, Triti Laut Sulawesi yang dimeterai pada 8 Jun 2023, dikenali sebagai Triti Sulawesi 2023, hanya meliputi kawasan di separa perairan wilayah di pantai timur Sabah dan tidak merangkumi Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

“Perjanjian itu tidak meliputi kawasan yang dikenali sebagai blok ND6 dan ND7, atau dirujuk oleh Indonesia sebagai ‘Ambalat’, yang terletak dalam ZEE Malaysia sejauh 200 batu nautika,” katanya.

Mohamad juga menepis dakwaan kononnya Kerajaan Malaysia mengenepikan hak dan kedaulatan Sabah kepada Indonesia susulan pemeteraian Triti Sulawesi 2023. – BERNAMA