Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Bekalan sayur negara masih terkawal biarpun cuaca panas melanda ketika ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Setakat ini, fenomena cuaca panas belum memberi kesan ketara terhadap bekalan sayur-sayuran dari kawasan pertanian utama negara dan bekalan juga masih banyak.

“Tidak banyak kawasan yang terjejas. Malah, kita mempunyai sistem sokongan bekalan yang baik. Sebagai contoh, jika terdapat kekurangan bekalan di negeri-negeri utara, hasil dari selatan akan membantu menampung keperluan. 

“Alhamdulillah setakat ini ia masih terkawal,” katanya selepas merasmikan Program Karnival TVET Pertanian @ KPKM Tahun 2025 di Kemuning Utama, dekat sini, hari ini.

Mengenai dakwaan harga sayur semakin mahal di Cameron Highlands, Mohamad berkata ia adalah perkara biasa berikutan pengeluarannya bergantung kepada cuaca selain lambakan sayur dari negara luar. 

Bagaimanapun, katanya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan sentiasa memantau dan menangani isu berkenaan

“Ini adalah perkara yang sentiasa berlaku dalam keadaan tertentu tetapi tidaklah secara berterusan,” katanya.-BH Online