Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia bersetuju mempergiatkan usaha menyelesaikan isu sempadan dan maritim yang berlarutan di antara dua negara, termasuk membabitkan Sabah dan Blok Ambalat yang kaya dengan sumber.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perbincangan itu juga mengiktiraf peranan strategik Sabah dalam rundingan yang berlangsung, terutama mengenai sempadan maritim dan potensi inisiatif pembangunan bersama di kawasan yang menjadi perdebatan seperti Ambalat.

Beliau berkata, kedua-dua negara komited mengukuhkan hubungan dua hala dengan menangani isu sensitif melalui saling menghormati, rangka kerja perundangan dan pembabitan diplomatik.

“Kedua-dua pihak sedang berusaha secara serius untuk menyelesaikan isu-isu ini atas semangat persahabatan dan kepercayaan yang wujud selama hampir setengah abad.

“Saya ingin merakamkan penghargaan di atas kesetiaan dan kepercayaan Indonesia yang berterusan dalam mengeratkan hubungan ini, termasuk mengambil kira pandangan dari Sabah (dalam perbincangan sempadan maritim) agar sebarang persetujuan yang dicapai lebih adil dan dimuktamadkan dengan lebih berjaya,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika sidang media bersama yang diadakan sebagai sebahagian daripada lawatan kerjanya dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, di Jakarta hari ini.

Perdana Menteri menambah, perbincangan maritim dan sempadan termasuk potensi inisiatif pembangunan bersama, seperti di kawasan Ambalat, untuk memberi manfaat kepada masyarakat di kedua-dua belah pihak, khususnya mereka yang tinggal berhampiran sempadan.

“Walaupun isu Ambalat mungkin mengambil masa jika diteruskan melalui kaedah tradisional, kami bersetuju bahawa pembangunan bersama boleh menjadi pendekatan yang lebih produktif dan tepat pada masanya, memberikan faedah segera untuk kedua-dua negara dan meningkatkan kehidupan di sepanjang sempadan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kerajaan telah mengarahkan menteri dan pegawai masing-masing untuk mempercepatkan rundingan dan kerjasama, khususnya dalam menyelesaikan tuntutan wilayah tertunggak dan meningkatkan kerjasama ekonomi.

Sementara itu, Prabowo berkata, kedua-dua negara bersetuju memulakan kerjasama ekonomi di kawasan maritim yang dipertikaikan, walaupun ketika perbincangan undang-undang diteruskan.

“Kami bersetuju dalam hal sempadan, yang mungkin masih mengambil masa untuk diselesaikan secara teknikal, tetapi pada dasarnya, kedua-dua pihak komited kepada penyelesaian.

“Ambil isu Ambalat, sementara kami berusaha menerusi kerumitan undang-undang, kami juga mahu memulakan kerjasama ekonomi, yang kami rujuk sebagai pembangunan bersama.

“Apa sahaja sumber yang kita temui di laut, kita akan meneroka bersama. Kita telah bersetuju bahawa kita mesti bertindak demi kepentingan negara dan rakyat kita,” katanya.

Kedua-dua pemimpin juga bertukar pandangan mengenai isu antarabangsa, termasuk perkembangan di Iran, Gaza, Myanmar, dan ketegangan yang berterusan di Asia Tenggara.

Terdahulu, pesawat membawa Perdana Menteri bersama delegasi Malaysia mendarat di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur kira-kira jam 1 tengah hari waktu tempatan, dan ketibaan itu disambut sendiri Presiden Prabowo.

Anwar yang turut disambut dengan lambaian dan kibaran bendera kedua-dua negara daripada pelajar-pelajar yang menunggu konvoi membawa kedua-dua pemimpin negara itu sepanjang laluan menuju ke Istana Merdeka, juga dilihat melambaikan tangan kepada mereka.

Sebaik tiba di Istana Merdeka, Perdana Menteri diiringi Prabowo ke pentas utama, untuk upacara sambutan rasmi.

Sebaik Anwar dan Probowo menaiki pentas utama, nyanyian lagu Negaraku dan lagu Indonesia Raya berkumandang, dengan diiringi 19 das tembakan meriam oleh Pasukan Keselamatan Presiden (Paspampres).

Probowo kemudian mengiringi Anwar untuk upacara pemeriksaan barisan kehormatan oleh Paspampres.

Kedua-dua pemimpin kemudiannya saling memperkenalkan menteri Kabinet masing-masing, diikuti sesi bergambar dan menandatangani buku pelawat.

Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Program diteruskan dengan pertemuan empat mata antara Anwar dan Prabowo, sebelum disusuli dengan mesyuarat dua hala lanjutan yang membabitkan menteri dari kedua-dua negara.-BH Online