PUTRAJAYA: Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi, berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata perkara itu dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Jun lalu.
“Tugas utama Amir Hamzah adalah untuk mengolah dan merombak semula inti pati naskhah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang akan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai 2025,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ia termasuk mengambil kira maklumat tambahan yang dikemukakan oleh kementerian-kementerian serta pandangan dan ulasan yang diberikan oleh Jemaah Menteri.
Tanggungjawab baharu Amir Hamzah itu susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dalam sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun lalu, selepas gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR.
Rafizi dalam kenyataan pada 28 Mei lalu dilaporkan berkata, kekalahannya dalam pemilihan itu bermakna beliau tidak lagi mempunyai mandat daripada parti untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan PKR menjadi program kerajaan.
Perdana Menteri pada hari sama mengesahkan menerima surat permohonan cuti dan pengunduran Rafizi sebagai anggota Kabinet.
Sementara itu, Amir Hamzah dalam kenyataan merakamkan penghargaan terhadap kepercayaan Perdana Menteri yang memberi mandat kepada beliau untuk membantu tugasan di Kementerian Ekonomi.
Beliau berkata antara tumpuan utama ketika ini adalah untuk memuktamadkan naskhah RMK-13.
“Banyak maklum balas diterima daripada menteri-menteri yang memerlukan rombakan semula inti pati RMK13 supaya memaparkan dengan terbaik dasar keutamaan Kerajaan MADANI serta meneruskan momentum pembaharuan agenda Ekonomi MADANI,” katanya.-BH Online