JASIN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, mengesahkan syarikat yang dikaitkan dengan penipuan membabitkan 47 jemaah haji tidak mempunyai lesen sah atau tauliah sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dibenarkan menguruskan perjalanan haji.
Beliau berkata, hasil semakan awal menunjukkan ejen terbabit bukan daripada mana-mana syarikat yang menerima tauliah sah daripada Lembaga Tabung Haji (TH) atau Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
“Saya yakin ini bukan syarikat PJH yang diberikan tauliah atau lesen tambang haji. Kemungkinan besar ia adalah ejen pelancongan lain yang bertindak secara tidak sah,” katanya selepas menyampaikan kelengkapan ibadah kepada masyarakat Islam di Perkampungan Orang Asli Bukit Seraya, di sini hari ini.
Kelmarin, media melaporkan 47 jemaah Malaysia didakwa menjadi mangsa penipuan ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.
Laporan itu memetik, anak kepada seorang mangsa mendakwa ibu, bapa dan ibu saudaranya bertolak ke Arab Saudi untuk mengerjakan haji bersama ejen berkenaan pada 9 Mei lalu serta dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah tanpa visa haji.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, menerusi siasatan sedang dijalankan, ejen terbabit dipercayai membawa jemaah melalui negara ketiga, dipercayai Turkiye sebelum memasuki Arab Saudi, sekali gus menimbulkan persoalan berhubung laluan visa dan keberadaan sebenar jemaah yang tidak direkodkan dalam sistem rasmi.
“Dari Jeddah, mereka (ejen) membawa jemaah keluar, kemudian masuk semula ke Jeddah melalui Turkiye. Jadi ada kemungkinan besar, laluan itu digunakan untuk elak pemantauan,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai supaya menyemak latar belakang syarikat yang menawarkan pakej haji atau umrah.
Katanya, kementerian akan memperketatkan lagi kawal selia terhadap semua ejen perjalanan haji, termasuk mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang tidak berlesen.
Sementara itu, Mohd Na’im mahu pihak yang terbabit menyediakan pakej menunaikan haji dengan cara `songsang’ itu supaya bertaubat.
Beliau berkata, banyak nasihat dan amaran diberi kepada pengendali jemaah haji swasta supaya mendapatkan kebenaran TH bagi menguruskan ibadah berkenaan, namun masih ada pihak mengambil kesempatan memperdaya jemaah.
“Sebelum operasi haji bermula, tidak kurang 10 kenyataan media saya keluarkan, selain dalam khutbah Jumaat yang mengingatkan masyarakat mengenai bahaya menunaikan haji tanpa permit atau kuota haji dikeluarkan secara sah oleh kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia melalui TH.
“Namun perkara tidak diingini berlaku lagi. Saya sarankan mereka terbabit bertaubat,” katanya.-BH Online