KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh sistem perlindungan sosial dan perkhidmatan pekerjaan negara menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pejabat Kebangsaan Pekerjaan Belgium (NEO).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata kerjasama strategik antara Malaysia dan Belgium membuka ruang baharu untuk perkongsian ilmu dan kepakaran, khususnya dalam aspek penyampaian perkhidmatan pekerjaan serta perlindungan keselamatan sosial.
“Kolaborasi antara PERKESO dan NEO menandakan komitmen KESUMA untuk menerapkan amalan terbaik di peringkat global.
“Ia juga dijangka mampu memacu inovasi serta memperkukuh keupayaan negara dalam menghadapi cabaran pasaran kerja yang dinamik dan sentiasa berubah.
“Jika dibandingkan dengan Belgium, sistem keselamatan sosial Malaysia masih dalam fasa perkembangan dan ada ruang untuk diperkukuh, termasuk dalam aspek perlindungan insurans pekerjaan serta aspek lain seperti penguatkuasaan, liputan dan integrasi bagi sektor pekerjaan formal dan tidak formal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERKESO dan NEO di Brussels, Rabu lalu.
Pertukaran MoU berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Strategi dan Korporat) PERKESO, Edmund Cheong Peck Huang dan Ketua Pegawai Eksekutif NEO, Dr Jean Marc Vandenbergh.
Melalui kerjasama itu, PERKESO berpeluang meneroka pendekatan transformasi digital, strategi pembangunan dan pelaksanaan program NEO, selain memperluas kefahaman dalam usaha membanteras penipuan rentas sempadan di peringkat antarabangsa.
Steven Sim berkata, Belgium mempunyai sistem perlindungan sosial yang komprehensif termasuk faedah pengangguran dan program latihan semula yang mantap, serta terkenal dengan latihan vokasional dan kepakaran dalam sektor teknologi tinggi serta inovasi.
“Kerjasama ini turut mencakupi aspek teknologi dan inovasi yang mampu memperkukuh dasar pekerjaan serta perlindungan sosial bagi menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya.-BH Online