Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TAWAU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi mengatasi isu bekalan air yang dihadapi warga kampus itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata penambahan terbabit menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi tujuan itu kini mencecah RM5 juta.

Beliau berkata, kerajaan amat prihatin dan mengambil maklum berhubung isu itu dan cuba memberi bantuan, termasuk yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berjumlah RM3 juta sebelum ini.

“Saya mendengar dan turun padang sendiri serta berinteraksi dengan pihak berkaitan, termasuk pelajar.

“Saya difahamkan pihak UMS memerlukan bantuan tambahan, justeru kita (KPT) menambah lagi RM2 juta menjadikan keseluruhannya berjumlah RM5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Watikah Pelantikan Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti (JPENKK) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, beliau memahami masalah air dihadapi kerajaan negeri ini.

“Saya turut memberikan nasihat dan pandangan bahawa kita tidak perlu menyatakan ada masalah di universiti.

“Isu ini juga telah dijawab oleh Naib Canselor UMS dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti berhubung kedudukan sebenar.

“Maknanya, pada peringkat UMS tidak ada masalah tetapi mungkin ada masalah teknikal lain sama ada dari segi saluran atau jumlah kuantiti air melalui paip-paip besar yang perlu disalurkan ke UMS,” katanya.

Beliau sekali gus berharap isu air itu dapat diatasi melalui kerjasama kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

“Pada peringkat KPT, kita telah cuba membantu termasuk melalui pembinaan tiub-tiub bawah tanah yang sudahpun berfungsi dengan baik.

“Saya tidak berniat atau berhasrat memberi komen terhadap mana-mana pihak atau terperangkap dalam polemik, kerana yang lebih mustahak adalah kebajikan penuntut di UMS perlu diberi keutamaan,” katanya.-BH Online