Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan e-invois mendapat sambutan positif dengan lebih 300 juta e-invois telah diterima Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sejak Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Abu Tariq Jamaluddin, berkata semua peniaga yang telah bersedia juga digalak untuk terus menggunakan sistem itu tanpa perlu menunggu garis semasa yang ditetapkan.

“Setakat ini, tentunya banyak pihak mengambil bahagian dalam acara yang telah kita anjurkan. Mereka ingin tahu bagaimana mereka dapat turut serta dalam program yang telah kita lancarkan ini.

“Fasa 1 dan Fasa 2 menunjukkan kejayaan baik di mana jumlah e-invois yang telah LHDN terima juga sangat signifikan,” katanya kepada Buletin TV3 dan BH.

Terdahulu, Abu Tariq mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, dan pihak pengurusan.

Ia bagi mengeratkan kerjasama strategik antara LHDN dengan Media Prima.

Jumaat lalu, LHDN mengumumkan pembayar cukai dengan pendapatan di bawah RM500,000 dikecualikan daripada e-invois, buat masa ini.

“Ambang baharu yang dikecualikan adalah RM500,000 ke bawah, buat masa ini… dikecualikan daripada e-invois yang sebelum ini RM150,000 telah dinaikkan kepada RM500,000, tentunya ia mengambil kira pandangan semua pihak dan kesediaan peniaga-peniaga untuk turut serta dalam program (e-invois) ini,” katanya sebagaimana dilaporkan Buletin TV3.null

Dengan itu, fasa ketiga pelaksanaan akan bermula 1 Julai 2025 membabitkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan lebih RM5 juta hingga RM25 juta.

Fasa keempat membabitkan pendapatan lebih RM1 juta hingga RM5 juta, mulai 1 Januari 2026.

Seterusnya, fasa terakhir pula membabitkan yang berpendapatan hingga RM1 juta ringgit, mulai 1 Julai 2026.

Untuk rekod, penggunaan e-invois dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Ogos 2024.

“Tentulah harapan daripada e-invois ini ada dua – pertama, dapat membantu peniaga itu sendiri mempunyai rekod yang teratur, menyimpan rekod mereka dengan baik dan dalam proses ini tentunya ia menyumbang kepada pematuhan dari segi pencukaian,” katanya.

Dengan pelaporan lebih tepat kepada LHDN, beliau berkata, kutipan cukai dijangka terus meningkat.

Sebelum ini, LHDN dilaporkan menyasarkan kutipan cukai pendapatan berjumlah RM200 bilion bagi tahun 2025.

Ia selepas merekodkan kutipan cukai langsung tertinggi dalam sejarah sebanyak RM184.81 bilion pada 2024.-BH Online