Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memantau tindakan terkini Amerika Syarikat (AS) membatalkan pensijilan di bawah Program Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVP) Universiti Harvard.

KPT berkata, ketetapan melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) bertarikh 22 Mei lalu itu, adalah susulan pentadbiran semasa AS menghalang Universiti Harvard mendaftarkan pelajar antarabangsa baharu ke institusi pendidikan tinggi berkenaan.

Katanya, pentadbiran semasa AS menerusi pengenalan sekatan berkenaan turut memberi tekanan kepada pelajar antarabangsa sedia ada di Universiti Harvard untuk berpindah ke institusi lain bagi mengekalkan status visa mereka.

Perkembangan isu itu dipantau melalui Pejabat Education Malaysia Washington DC (EMWDC), selain 54 pelajar Malaysia iaitu 16 pelajar tajaan dan 38 pelajar pembiayaan sendiri, sehingga kini.

“Perkembangan terbaru iaitu Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk mengekalkan Perintah Tahanan Sementara (TRO) difailkan Universiti Harvard memberi kelegaan kepada lebih 6,800 pelajar antarabangsa di universiti berkenaan.

“Keputusan ini membolehkan pelajar antarabangsa, termasuk pelajar Malaysia meneruskan pengajian tanpa gangguan kepada status visa ketika ini.

“KPT dan Pejabat EMWDC juga berhubung dengan pihak penaja berkaitan serta pihak berkuasa pendidikan AS, selain kementerian menyambut baik komitmen mereka bekerjasama memastikan kebajikan pelajar Malaysia sentiasa terpelihara.

“Selaras konsep Malaysia MADANI, KPT akan terus menyokong pelajar Malaysia di luar negara dalam apa juga keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media antarabangsa baru-baru ini, melaporkan Hakim Persekutuan AS menyekat sementara rancangan kerajaan AS untuk mengecualikan pelajar asing daripada memasuki Universiti Harvard.

Perintah injunksi sementara dikeluarkan Hakim Allison D Burroughs itu menghalang kerajaan daripada melarang Universiti Harvard terus menerima pelajar antarabangsa melalui program khas persekutuan.

Universiti itu memfailkan saman ke atas langkah kerajaan AS di Mahkamah Daerah Massachusett, beberapa jam sebelum keputusan hakim diumumkan.

Universiti Harvard menerusi saman itu, menuduh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump cuba memberi tekanan ke atas institusi itu melalui tindakan balas yang didakwa tidak sah.

Sementara itu, KPT juga mengingatkan pelajar sentiasa mengemas kini maklumat berkaitan Latihan Praktikal Pilihan (OPT) serta berhati-hati dalam setiap tindakan membabitkan urusan imigresen.

Ketika ini, katanya, tiada pelajar Malaysia dilaporkan mengalami masalah atau isu berkaitan rekod Sistem Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVIS) dan penarikan semula visa mereka.

“Pelajar baharu yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Harvard bagi kemasukan September depan, disaran menghubungi pihak universiti dan penaja masing-masing secara langsung bagi mendapatkan perkembangan terkini sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.

“Malaysia percaya pendidikan tinggi merentas sempadan adalah landasan penting kepada pembangunan bakat global, pertukaran ilmu dan kerjasama strategik antara negara.

“KPT juga menggesa semua pihak kekal tenang, bertindak berdasarkan maklumat sahih dan memberi keutamaan kepada kepentingan pelajar dalam menghadapi isu ini,” katanya.-BH Online