Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGE TOWN: Kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem e-Invois selepas mengambil kira keluhan dan kebimbangan peniaga, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada syarikat menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem e-Invois yang dibangunkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Pelaksanaan e-Invois yang dirancang bermula 1 Julai ini pada asalnya membabitkan syarikat dengan jualan tahunan RM500,000 ke atas. Namun, kerajaan MADANI amat prihatin terhadap suara peniaga, terutama PMKS, dan memutuskan untuk melaksanakannya secara berfasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Tandas Pintar di Pasar Awam Lebuh Cecil.

Pada 5 Jun lalu, LHDN memaklumkan bahawa pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM500,000 dikecualikan daripada pelaksanaan sistem itu buat masa ini.

Bagi pembayar cukai berpendapatan antara RM1 juta hingga RM5 juta, pelaksanaannya ditangguhkan ke 1 Januari 2026, manakala kumpulan berpendapatan sehingga RM1 juta akan bermula pada 1 Julai 2026.

Menurut Hui Ying, fasa ketiga pelaksanaan sistem e-Invois yang akan bermula 1 Julai ini hanya melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM5 juta hingga RM25 juta.

“Dengan pendekatan fasa ini, syarikat mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan, selain memastikan kelancaran proses pelaksanaan tanpa memberi tekanan berlebihan kepada perniagaan kecil,” katanya.-BH Online