KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia memperkukuh hubungan pelancongan bersama negara di Asia Barat dan India dengan mengadaptasi model diterajui Royal Brunei Airlines.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata pemilihan model itu dibuat selepas menerima maklum balas positif daripada pasaran terhadap pakej Royal Brunei Airlines yang dikembangkan merangkumi Kuching, Sarawak.
“Penumpang pakej perjalanan ‘Brunei-Kuala Lumpur atau Kota Kinabalu’ menikmati penginapan percuma satu malam di Brunei, sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur atau Kota Kinabalu.
“Kami bersama Royal Brunei Airlines bercadang mengadaptasi pendekatan ini bagi pasaran Asia Barat dan India bagi menarik lebih ramai pelancong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, King Sing berkata, persetujuan awal bagi menyesuaikan model ‘Brunei +’ untuk pasaran Emirah Arab Bersatu (UAE) sudah dicapai, menyasarkan 4.5 juta ekspatriat India yang menetap di negara itu.
Beliau bersama Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan, mengadakan pertemuan dengan Pengurus Wilayah UAE Royal Brunei Airlines, Jalal Sanour Rahman di acara Arabian Travel Market 2025.
“Melalui persetujuan awal ini, model ‘Brunei +’ akan diperluas ke pasaran UAE, dengan Tourism Malaysia menawarkan penginapan percuma satu malam lagi di Kota Kinabalu atau Kuching.
“Pakej ini adalah lawatan selama tujuh hari enam malam, dengan sasaran menarik sekurang-kurangnya sejuta pelancong daripada golongan ekspatriat India di UAE untuk melawat ke kedua-dua negara.
“Saya berhasrat memuktamadkan pakej ini menjelang hujung tahun demi mencapai visi untuk menerima 45 juta pelancong antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
King Sing berkata, sebanyak 30 slot kepada wakil Royal Brunei Airlines dari UAE turut ditawarkan menyertai lawatan suai kenal ke Malaysia, meliputi tarikan baharu di pelbagai negeri.
“Ini akan menjadi peluang memperkenalkan pakej pelancongan meliputi lebih banyak negeri. Lawatan ini dijangka berlangsung pada September atau Oktober, dan jadual perjalanan akan dimuktamadkan pada akhir Ogos,” katanya.
Beliau mencadangkan Royal Brunei Airlines mempertimbang membuka lebih banyak laluan sambungan, seperti penerbangan terus dari Dubai ke Brunei, dengan sambungan ke Melaka, Johor, Pahang atau Perak.
Katanya, beberapa laluan itu juga boleh dilaksanakan melalui perjanjian perkongsian kod atau penerbangan sewaan khas, selain mencadangkan strategi pelancong masuk dari Brunei dan keluar melalui Semenanjung Malaysia.
“Ini juga boleh memberi manfaat kepada pasaran pelancongan Muslim, sekali gus menggalakkan pertumbuhan pelancongan mesra-Muslim kedua-dua negara.
“Saya komited membantu meluluskan sebarang laluan baharu, dengan kerjasama rapat bersama Kementerian Pengangkutan untuk mempercepat proses berkenaan,” katanya.-BH Online