Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth, ketika mengadakan lawatan kerja singkat ke Singapura, hari ini.

Dalam hantaran melalui Facebook, Perdana Menteri berkata, antara perkara dibincangkan pada pertemuan di Singapura itu ialah usaha meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan dan maritim, selain menzahirkan penghargaan atas pembabitan AS di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25), baru-baru ini.

Anwar memaklumkan bahawa ketika lawatan kerja ke Singapura, beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Presiden Boeing Global, Brendan Nelson.

“Ketika kunjungan Presiden Boeing Global, Brendan Nelson, kami menggunakan ruang itu bagi membincangkan keselamatan maritim, modenisasi aset dan pelaburan dalam pendidikan, selain kolaborasi dengan pemain industri tempatan terkait latihan, kerjasama strategik serta pembangunan ekosistem penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO),” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pertemuan itu mampu melonjakkan lagi kepentingan Malaysia dalam bidang pertahanan pada peringkat serantau dan juga global.

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Singapura bagi menghadiri Dialog Shangri-La Ke-22, iaitu persidangan berprestij pertahanan dan keselamatan serantau di Asia Pasifik, dalam rangka lawatan kerjanya selama sehari.-BH Online