PUTRAJAYA: Kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 adalah hasil bukti kecekapan, dedikasi dan semangat berpasukan luar biasa jentera kerajaan serta sokongan padu rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kelancaran keseluruhan urusan sepanjang sidang kemuncak berlangsung selama dua hari itu adalah hasil kerjasama erat antara pelbagai agensi, daripada sektor keselamatan dan pengurusan acara hingga ke barisan hadapan perkhidmatan awam.
“Saya lihat di semua peringkat, anak kita, penjawat awam, semuanya hebat. Dari lapangan terbang, perbarisan, polis, imigresen, Malaysia Airports (Holdings Berhad), pengurusan hotel, Kementerian Luar yang menyelaras, sehinggalah Jabatan Perdana Menteri yang mengurus protokol.
“Saya pun pening dengan protokol, tetapi saya ikut apa yang pegawai arahkan kepada perdana menteri sebab kita negara yang ada peraturan dan bekerja sebagai satu pasukan,” katanya berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berakhir Selasa lalu menyaksikan beberapa siri pertemuan peringkat tinggi diadakan, bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dan memperluas perkongsian strategik dalam pelbagai bidang.
Antara mesyuarat utama termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama.
Mengulas lanjut, Anwar turut menekankan pentingnya keputusan kolektif dalam kalangan pemimpin ASEAN yang tidak menjejaskan kepentingan mana-mana negara anggota.
Ia termasuk dalam menentukan keputusan berhubung penyertaan Timor Leste sebagai anggota ASEAN dan isu tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
“Setiap negara ada strategi sendiri termasuk hubungan dua hala, tetapi kita juga mahu pertahankan kepentingan 650 juta populasi ASEAN.
“Jangan ada keputusan diambil Malaysia merugikan negara lain, atau sebaliknya. Kita bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.-BH Online