Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), kontraktor dan juruperunding perlu memastikan projek pembinaan surau di seluruh kawasan kelolaan, berjalan lancar serta siap mengikut tempoh ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata ini kerana, kejayaan pelaksanaan projek pembinaan surau dalam tempoh ditetapkan menjadi harapan setiap komuniti.

“Ada surau sedang dibina, arahan saya supaya pihak MAIWP dan kontraktor kena berikan tumpuan untuk memastikan surau dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“Ini harapan komuniti, sayang kalau orang tiap hari lalu dan tengok bila surau (di kawasan mereka) akan siap,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Surau Al-Firdaus, Presint 11F di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadhlun Mak Ujud. 

Sementara itu, Mohd Na’im berharap Surau Al-Firdaus Presint 11F dijangka memulakan operasinya pada Ahad ini bukan saja menjadi tempat ibadah, tetapi juga pusat komuniti Islamiah. 

Beliau berkata, kelewatan pembinaan Surau Al-Firdaus Presint 11F, disebabkan faktor pandemik COVID-19 dan isu teknikal termasuk pelan asal pembinaan surau itu.

“Atas keperluan tertentu, peruntukan asal surau RM3 juta meningkat kepada RM6.8 juta dan kapasiti asal surau ini turut ditingkatkan daripada 710 meter persegi kepada 1,710 meter persegi,” katanya.– BERNAMA