KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN mampu meningkatkan kerjasama antara negara blok berkenaan dengan Malaysia dalam meneroka sumber tenaga yang boleh diperbaharui.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata setiap negara mempunyai peluang dan sumber tersendiri namun dalam masa sama tetap berdepan dengan beberapa kekurangan.
Mengambil contoh apa yang berlaku antara Singapura dan Laos, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata Malaysia turut membantu negara berkenaan sekiranya mengalami sebarang kekangan.
“Laos menjual sumber tenaganya kepada Singapura, bagaimanapun ia perlu melalui Thailand dan Malaysia dan dikenakan caj pengangkutan kerana melalui grid kita.
“Namun adakalanya, ketika Laos mengalami musim sejuk, air menjadi beku dan tiada sumber tenaga yang boleh dihantar kepada Singapura.
“Jadi negara itu terpaksa mengambil bekalan tenaga dari Malaysia atau Thailand untuk dibekalkan kepada Singapura,” katanya selepas menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Malaysia bersetuju dengan cadangan Laos supaya fasa kedua projek Grid Tenaga ASEAN disegerakan bagi memberi manfaat kepada negara anggota blok berkenaan.
Cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone, katanya, akan dibincangkan pada sesi pemukiman pemimpin ASEAN.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, pendekatan yang sama boleh dilaksanakan di negara ini sekiranya sumber tenaga yang ada tidak mencukupi atau terputus bekalan disebabkan insiden tertentu.
“Kita ambil contoh insiden yang berlaku di Putra Heights, bila paip gas meletup, kita terpaksa menutup saluran gas di bahagian selatan supaya tidak jejaskan kawasan itu.
“Bila tutup, maknanya aliran gas yang ada itu tidak sampai ke utara. Jadi bagaimana kita mahu menyalurkan bekalan gas di bahagian utara, adalah dengan berunding dengan Thailand untuk bekalkan kepada kita.
“Disebabkan jalinan kerjasama itu, bekalan gas di kawasan utara tidak terjejas dan ini adalah salah satu perkongsian kemakmuran supaya negara ASEAN menjadi lebih kukuh dan kompetitif,” katanya.-BH Online