Presiden Russia, Vladamir Putin berkata beliau melihat wujudnya prospek bagi usaha sama antara Russia dan Malaysia dalam bidang gas asli dan tenaga nuklear.
Beliau berkata PETRONAS mempunyai modal ekuiti dalam Rosneft.
“Syarikat minyak dan gas Malaysia, PETRONAS memegang modal ekuiti dalam Rosneft, dan PETRONAS juga mempunyai perkongsian dengannya dan sedang membangunkan hubungan itu, serta dengan Gazprom,” kata beliau pada sidang media bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Moscow, Russia hari ini.
Rosneft ialah syarikat tenaga bersepadu Russia yang beribu pejabat di Moscow, manakala Gazprom pula syarikat tenaga multinasional majoriti milik Russia yang beribu pejabat di Lakhta Center di Saint Petersburg.
Putin berkata Moscow membekalkan sejumlah besar produk minyak dan arang batu ke pasaran Malaysia.
“Kita melihat wujudnya prospek untuk melaksanakan projek bersama dalam bidang gas dan penggunaan tenaga atom secara aman. Di Malaysia, dengan bantuan Russia, kita telah membina kilang untuk menghasilkan getah sintetik.
“Dalam konteks kontrak jangka masa panjang, kita telah membekalkan input baja kalium dan nitrogen dari Russia untuk pertanian Malaysia,” katanya.
Putin berkata Moscow juga meningkatkan bekalan produk pertanian dari Russia ke Malaysia seperti bijirin.null
“Kita juga akan meningkatkan eksport produk daging dan tenusu berkualiti tinggi ke Malaysia mengikut piawaian Halal Islam,” kata beliau.
Pada 2024, Russia ialah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (AS$2.48 bilion).
Eksport utama Malaysia ke Russia termasuk produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti, serta makanan yang diproses.
Import dari Russia terutama terdiri daripada produk petroleum, mineral serta kimia dan produk berasaskan kimia.– BERNAMA