Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia kekal dengan pendirian bahawa kebenaran dan keadilan berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 ditembak jatuh di Ukraine pada 2014 harus terus diperjuangkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ia menuntut kerjasama semua pihak dalam memastikan siasatan serta proses yang bebas dan adil.

“Saya bangkitkan keputusan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berhubung insiden pesawat MH17 secara terus di hadapan Presiden Russia, Vladimir Putin dalam pertemuan dua hala kami di Kremlin hari ini (semalam).

“Ini merupakan ruang penting untuk kita mendapatkan penjelasan terus daripada Kerajaan Russia mengenai keputusan ICAO,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Terdahulu, Perdana Menteri ketika pertemuan dengan Putin, membangkitkan isu mengenai insiden berkenaan.

Anwar berkata perkara itu dibangkitkan semasa rundingan dua hala beliau dengan Presiden Russia di Kremlin sebagai mewakili keluarga mangsa yang terjejas akibat tragedi terbabit.

Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus bersuara secara berprinsip dan tegas demi memastikan keadilan buat mangsa dan keluarga mereka yang terkesan dengan insiden pilu berkenaan.

Isnin lalu, ICAO, sebuah majlis penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan bahawa Russia bertanggungjawab dalam insiden yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu.

Menurut laporan berkenaan, ICAO akan mempertimbang bentuk pampasan yang sesuai dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Pada November 2022, Mahkamah Belanda mensabitkan dua lelaki warga Russia dan seorang lelaki warga Ukraine secara ‘in absentia’ dengan kesalahan membunuh kerana peranan mereka dalam serangan itu.

Anwar tiba di Moscow untuk lawatan rasmi empat hari bermula 13 Mei atas undangan Putin. Beliau akan meneruskan segmen kedua lawatan dengan berkunjung ke Kazan, Tatarstan pada 15 Mei.-BH Online